suria

Pemandu Teksi Limousin Dan Isteri Dipercayai Edar Ganja

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi limousin dan isterinya adalah antara enam orang yang ditahan minggu lepas kerana disyaki mengedar dadah di mana 13.8kg ganja bernilai RM76,000 dan 128gm syabu turut dirampas dari kumpulan ini.

Pemandu teksi yang berusia 36 tahun tersebut dipercayai menggunakan teksinya untuk membawa dan menjual dadah kepada pelanggan.

Polis menemui tiga ketulan mampat ganja seberat tiga kilogram di dalam teksinya ketika ditahan Khamis lalu di hadapan sebuah hotel di Jalan Pudu di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner (ACP) Kang Chez Chiang berkata polis kemudiannya menyerbu rumah pemandu tersebut di Taman Batu Caves dan turut menahan isterinya yang berusia 34 tahun.

"Pemeriksaan ke atas rumah suspek turut menjumpai dua ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat dua kilogram," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata penahanan pemandu teksi itu merupakan susulan daripada penahanan seorang wanita berusia 30 tahun dan dua lelaki yang berusia 36 dan 38 tahun di Jalan Megan, Setapak dan Jalan Haji Hussein di sini pada hari yang sama.

"Dua peket plastik disyaki berisi syabu seberat 125 gram dirampas dari suspek wanita itu manakala pemeriksaan atas kedua-dua suspek lelaki tersebut pula menemui dua ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat berat 1.3kg serta syabu seberat tiga gram dalam tiga peket plastik," katanya.

Selepas pemandu teksi itu ditahan, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun di sebuah stesen minyak di Jinjang Selatan dan merampas lapan ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 7.5kg daripadanya.

Kang berkata kesemua suspek ditahan reman selama seminggu bermula 11 Jun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jiga bersabit kesalahan.

Polis turut rampas tiga buah kereta jenis Toyota Camry, Perodua Kelisa dan Toyota Innova serta empat telefon bimbit daripada kumpulan terbabit.

Sumber bekalan dadah kumpulan itu sedang disiasat.

"Kesemua suspek yang ditahan mempunyai rangkaian pengedaran dadah secara kecil-kecilan dan ada di antara mereka yang bekerja sebagai pemandu sambilan, pelayan restoran, peniaga dan penganggur," kata Kang.

Beliau berkata dengan penahanan kesemua suspek itu polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pengedaran dadah jenis ganja di sekitar Lembah Kelang sejak yang beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan kira-kira 8.30 malam Sabtu lepas kerana memiliki dua ketulan mampat, dua bungkusan dan 194 peket kecil disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran seberat 841 gm di rumahnya di Taman Kobena, Cheras.

Kang berkata suspek yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan reman selama seminggu bermula dari tarikh tangkapannya dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata seorang lagi lelaki dipercayai rakan suspek berusia 35 tahun pula ditahan kira-kira 6.30 petang semalam dan 41 gram dadah disyaki heroin dirampas di sebuah rumah di Taman Maluri, Cheras.

Katanya nilai dadah yang dirampas daripada kedua-dua suspek dianggarkan bernilai RM50,000. - BERNAMA

Artikel Lain