suria

Pekerja Bangladesh Terbunuh Tertimbus Tanah Di Ipoh

IPOH: Seorang pekerja binaan warga Bangladesh terbunuh selepas tertimbus tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Raja Nazrin Shah di sini hari ini.

Seorang lagi pekerja Bangladesh yang turut tertimbus masih dicari.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata kejadian berlaku kira kira jam 4.55 petang tadi ketika kedua-duanya sedang melakukan kerja-kerja menanam cerucuk.

"Ketika kedua-dua mangsa sedang mengorek lubang, tiba-tiba tebing tanah di tempat mereka berada menggelunsur dan menimbus kedua-dua mangsa", katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zakaria berkata pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikejarkan untuk menyelamat mangsa di mana mayat seorang daripadanya ditemui kira kira 6.25 petang.

Operasi mencari mangsa seorang lagi masih diteruskan setakat ini dengan bantuan unit anjing pengesan. - BERNAMA

Artikel Lain