suria

Mesir Usah Ikut Telunjuk Israel, Kata Tun M

KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa Mesir agar tidak terlalu mengikut telunjuk Israel dengan mengenakan pemeriksaan ketat ke atas bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada penduduk Palestin di sempadan Rafah.

Pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO) itu berkata, Israel akan melakukan pelbagai cara bagi memastikan bantuan tersebut tidak sampai atau lambat tiba kepada penduduk Palestin yang memerlukannya.

"Walaupun pintu sempadan Rafah dibuka, Israel akan desak Mesir untuk memeriksa dengan ketat dengan alasan bantuan itu turut ada senjata, sedangkan kita memang sudah pastikan tidak ada senjata dihantar.

"Ini adalah helah Israel sahaja. Saya berharap kerajaan Mesir tidak akan memberi kerjasama kepada Israel," katanya kepada pemberita selepas berucap lebih sejam pada perhimpunan Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) di Stadium Negeri di sini.

Beliau berkata Israel melakukan tekanan itu sebagai tindakan halus rejim berkenaan bagi memusnahkan bangsa Palestin secara beramai-ramai atau genosid. Dr Mahathir berkata sehubungan itu, Israel akan cuba sedaya upaya menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan dan sebagainya dalam usaha mengurangkan jumlah penduduk di Semenanjung Gaza.

"Bila mereka tidak dapat makanan yang cukup, ubat-ubatan, tidak dapat (menikmati) hidup sempurna, tidak ada rumah dan terpaksa hidup dalam khemah, dalam musim sejuk umpamanya, yang tua dan daif akan mati kerana kesejukan," katanya.

Beliau berkata walaupun sukarelawan gagal menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini, namun apa yang berlaku kepada mereka berjaya membuka mata masyarakat dunia terhadap kezaliman Israel yang tergamak membunuh orang tidak bersenjata.

"Dunia sekarang ini dapat tahu bahawa rejim Israel bukan sahaja sanggup bunuh musuh mereka iaitu orang-orang Palestin, tetapi kawan kepada orang Palestin pun mereka sanggup bunuh," katanya.

Beliau merujuk kepada tragedi 31 Mei lalu yang menyaksikan tentera regim Zionis itu membunuh sembilan aktivis serta menahan puluhan sukarelawan, termasuk 12 rakyat Malaysia, yang berada di atas kapal "Mavi Marmara" di perairan antarabangsa ketika ia dalam perjalanan ke Gaza untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.

Mavi Marmara merupakan sebahagian daripada konvoi misi bantuan kemanusiaan membabitkan beberapa kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 50 negara.

Pada 5 Jun lepas, askar Israel menahan kapal MV Rachel Corrie tajaan PGPO yang turut serta dalam konvoi itu.

Enam sukarelawan negara yang berada di atasnya turut ditahan, bagaimanapun mereka dibebaskan sehari kemudian.

Hadir sama pada perhimpunan Melayu Bangkit hari ini ialah Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan pengerusi Gertak Razali Idris serta lebih 2,000 wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Gertak kemudiannya menyampaikan sumbangan sebanyak RM121,258.80 rakyat Terengganu untuk Tabung Gaza kepada Dr Mahathir. - BERNAMA

Artikel Lain