suria

Kerajaan Selangor, Kedah Bakal Tumbang Jika Tiada Pengundi Baru

KOTA BARU: Kerajaan Pakatan Pakyat di Selangor dan Kedah bakal tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti sekiranya gagal meningkatkan pendaftaran pengundi muda yang menjadi benteng kekuatan mereka.

Malah Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kemerosotan sokongan daripada masyarakat Melayu dan India turut membimbangkan seperti mana yang berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor lalu.

"Jika kita tidak daftar pengundi muda sehingga Pilihan Raya Umum ke-13, Selangor di ambang kejatuhan dan PAS di Selangor hanya boleh menang dua kerusi saja, ini yang saya mahu ingatkan, sebab itu pendaftaran golongan muda perlu digiatkan... sekiranya gagal, kerajaan Kedah juga di ambang kejatuhan.

"Selain itu saya mengingatkan kepada Pesuruhjaya dan Yang Dipertua PAS kawasan Selangor, pencapaian pilihan raya kita merosot enam peratus undi Melayu dan 10 peratus undi India," katanya ketika berucap pada pengulungan perbahasan usul Muktamar PAS ke-56 di sini semalam.

Oleh itu Abdul Halim berkata, PAS perlu mempunyai persiapan secukupnya bagi membina kekuatan dan startegi taktikal yang mantap untuk memastikan parti itu terus kekal relevan.

Menurutnya lagi, dana lebih RM29 juta diperlukan parti itu bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan seterusnya merampas Putrajaya.

Katanya, PAS tidak boleh berada di takuk lama dan sebaliknya perlu memberi peluang kepada wanita untuk bertanding pada pilihan raya terutamanya di kawasan yang mempunyai lebih 50 peratus pengundi wanita.

"Ini strategi politik, sebab itu kita harap PAS Pusat letak calon wanita di tempat yang ada ramai pengundi wanita... kita kena berubah.

"Kita jangan sensitif terhadap perkara ini kerana ia adalah keperluan strategi taktikal," katanya.

Artikel Lain