suria

Kehadiran MB Terengganu Kejutkan Hadirin di Perhimpunan GERTAK

KUALA TERENGGANU: Kehadiran Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said ke Perhimpunan Melayu Bangkit di Stadium Negeri di sini pagi tadi telah mengejutkan ramai hadirin.

Ini kerana nama beliau tidak tersenarai sebagai tetamu jemputan ke majlis tersebut.

Program anjuran Gerakan Tindakan Rakyat (GERTAK) iaitu gabungan 45 NGO Melayu turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketibaan kedua-dua tetamu itu disambut dengan paluang gendang silat dan persembahan pencak silat oleh dua pasangan pesilat lelaki dan wanita.

Yang paling menyerlah di antara NGO yang hadir ialah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) yang tampil dalam pakaian seragam hijau muda, membawa bendera persatuan dan berlilit kepala bertulis dua kalimah syahadah.

Lain-lain NGO yang bergabung dalam GERTAK ialah PEWARIS, Gerakan Belia 4B, Sahabat Laut Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA).

Perhimpunan tersebut yang sebelum ini terpaksa dibatalkan setelah dibantah sebagai perhimpunan rasis tidak dikawal ketat sebagaimana yang dijangka pada awalnya.

Hanya lebih kurang 10 anggota polis berpakaian seragam kelihatan mengawal keadaan dalam stadium tertutup tersebut.

Kumpulan Teater Orang Ulu Ibrahim Taib telah mengamatkan dewan dengan persembahan bacaan sajaknya yang disampaikan dalam loghat Hulu Terengganu pekat.

Sajak tersebut, antaranya menyebut, Melayu perlu kuat dan memimpin dunia supaya dapat "tentukan anggota JKKK (Jawatankuasa Keselamtan dan Kemajuan Kampung) di Israel", "jadikan Obama kelasi kapal" dan "lantik Bush sebagai tok siak di masjid untuk sapu tahi cicak".

Dalam pada itu, Presiden GERTAK Razali Idris dalam ucapannya mengecam mereka yang mengkritik perhimpunan tersebut sebagai rasis sehinggakan mereka terpaksa menundanya yang pada mulanya dijadualkan berlangsung pada 13 Mei lalu.

"Kita dituduh, difitnah. Ada yang kata Dr Mahathir sebagai rasis. Tuduhlah, tempat tidak penting pada kita. Yang penting adalah ucapan Dr Mahathir.

"Kaum lain tidak perlu risau kerana kita bukan hendak bangun menentang dengan senjata atau hendak menjadi golongan pemusnah tetapi kita hendak menjadi kumpulan yang matang dalam perjuangan," tegasnya.

Razali turut menyeru mereka yang hadir supaya bangun mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu kerana ia adalah hak mereka sejak turun temurun.

"Perkara ini sudah dipersetujui oleh nenek moyang kita, jadi kita mesti pertahankan," tegasnya lagi.

Dr Mahathir pula dalam ucapannya berkata, pembatalan perhimpunan itu pada 13 Mei lalu adalah disebabkan oleh fikiran singkat sesetengah pihak yang cuba mengaitkan perhimpunan ini dengan tarikh berlakunya rusuhan kaum pada tahun 1969.

Artikel Lain