suria

Kedudukan Malaysia Meningkat Ke Tahap Dua Dalam Laporan Pemerdagangan Manusia

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada pada Tahap Dua berdasarkan Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat atas usahanya yang signifikan untuk mematuhi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu melalui surat dari Kedutaan Amerika Syarikat pagi ini.

"Ini merupakan pengiktirafan kepada kita yang telah membuat akta (Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007), mewujudkan Majlis Antipemerdagangan Orang dan tindakan nasional yang melibatkan kementerian berkaitan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Kedudukan Malaysia sebelum ini jatuh dari Tahap Dua ke Tahap Tiga mengikut laporan TIP 2009 yang dikeluarkan pada 16 Jun tahun lepas.

Laporan TIP menyenaraikan negara-negara berdasarkan tahap pematuhan standard minimum bagi memerangi pemerdagangan manusia.

Tahap Satu merujuk kepada pematuhan sepenuhnya dan Tahap Dua pula bagi usaha yang signifikan untuk mematuhi Akta Perlindungan pemerdagangan dan Keganasan (TVPA).

Tahap 3 merupakan negara-negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.

Terdahulu dalam jawapannya kepada soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada persidangan Dewan Rakyat, Hishammuddin berkata seramai 1,447 orang telah diberikan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) di bawah Seksyen 44 (2) Akta Antipemerdagangan Orang 2007, dari tempoh 28 Feb 2008 hingga 30 Mei tahun ini.

"Dari jumlah tersebut, seramai 338 mangsa telah dikenalpasti sebagai mangsa sebenar pemerdagangan orang dan telah diberikan Perintah Perlindungan (PO) di bawah Seksyen 51(3) akta yang sama," katanya.

Tan ingin tahu antara masalah yang dihadapi untuk menangani permasalahan ini dan bilangan mangsa yang dapat dikesan.

Hishammuddin berkata kerajaan menghadapi pelbagai cabaran dan masalah dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia kerana ia adalah jenayah yang kompleks dan melibatkan jenayah rentas sempadan, selain mempunyai hubung kait dengan jenayah lain seperti pelacuran, sindiket dadah dan pengubahan wang haram.

"Kebanyakan mangsa masuk ke negara ini secara sah sebagai pelancong tetapi kemudiannya menjadi sasaran sindiket pemerdagangan orang sehingga menyebabkan anggota penguatkuasa menghadapi kesukaran untuk mengenalpasti mangsa.

"Kurang kerjasama dan penyampaian maklumat daripada orang ramai dan mangsa juga menjadi masalah kepada kita untuk membanteras jenayah ini. Terdapat juga situasi di mana sindiket antarabangsa yang mengancam mangsa hingga menyebabkan mangsa takut membuat laporan," katanya.

Beliau berkata terdapat juga beberapa faktor dalaman dan luaran yang menyebabkan masalah ini berterusan.

"Antaranya jenayah ini merupakan jenayah global yang berlaku di kebanyakan negara di dunia termasuk negara-negara maju. Ia mudah dilakukan dan memberikan pulangan hasil yang lumayan iaitu US$38 bilion setiap tahun.

"Kedudukan ekonomi negara yang terus berkembang baik telah menarik minat warga asing datang ke negara ini untuk mencari pekerjaan. Di samping itu, iklim politik dan ekonomi yang kurang selesa di negara asal mangsa menyebabkan ramai yang sanggup memperjudikan nasib di negara ini," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah melaksanakan mekanisme dalaman bagi membendung jenayah ini, namun ketidakupayaan dan kelemahan yang serius di negara asal untuk mencegah atau mendidik rakyat mereka mengenai risiko pemerdagangan manusia menyebabkan mangsa mudah diperdaya pihak sindiket.

"Tahap kerjasama di antara orang awam dengan agensi penguatkuasa masih perlu dipertingkatkan kerana kerjasama ini amat penting untuk menangani jenayah pemerdagangan orang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain