suria

Harga Barang Keperluan Meningkat 5 Peratus Setiap Tahun - Fomca

PETALING JAYA: Harga barangan keperluan masih meningkat pada kadar 5 peratus setiap tahun, menurut pusat sumber dan penyelidikan pengguna Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

“Secara amnya, harga barangan turun naik dalam jangka pendek, tetapi meningkat setiap tahun dengan kadar purata 5 peratus,” kata Ketua Pegawai Eksekutif pusat berkenaan, Datuk Paul Selva Raj.

Sehingga Mac lalu, harga pengguna terus menunjukkan trend meningkat, yang dipengaruhi oleh peningkatan harga makanan dan bil.

Bahagian Statistik berkata, Indeks Harga Pengguna (CPI) pada bulan lalu meningkat daripada 111.5 kepada 113.2. Harga pengguna meningkat 1.5 peratus pada April lalu dalam tempoh setahun.

Indeks inflasi Malaysia bagi harga makanan dianggarkan kira-kira 31 peratus, meningkat 1.7 peratus pada Mac lalu, manakala kos rumah, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 1 peratus.

Profesor Tan Eu Chye dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM) berkata, sebarang pengurangan subsidi bukan sahaja akan menyebabkan lonjakan kadar inflasi, malah meningkatkan kos sara hidup.

Fomca menyokong langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat, namun katanya, kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan alternatif bagi melindungi pengguna.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Sha’ani berkata, amat penting bagi kerajaan untuk melaksanakan kawalan kadar itu dengan menyalurkan dana kepada beberapa sektor sosial lain.

“Harga barang keperluan dan bahan api mungkin meningkat. Jadi kenapa tidak meningkatkan bantuan untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan perumahan?” soalnya.

“Kerajaan berupaya mengurangkan kesan tekanan yang dialami pengguna sekiranya membantu sektor-sektor berkenaan,” kata Sha’ani.

Artikel Lain