suria

Guru Maut Selepas Dirempuh Bas Ekspres

BUKIT MERTAJAM: Seorang guru maut selepas kereta yang dipandunya dilanggar sebuah kenderaan lain sehingga berpusing dan melintang di tengah jalan sebelum dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 147.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, mangsa S. Bhaskaran, 35, memandu seorang diri dari Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jitra, Kedah.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang ASP Ahmad Ezzely Razali berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan lain menyebabkan keretanya melintang di tengah jalan.

"Mangsa telah keluar dari keretanya untuk melihat keadaan kenderaannya dan tiba-tiba sebuah bas ekspres datang merempuh kereta serta Bhaskaran.

"Akibat rempuhan itu mangsa serta keretanya tercampak kira-kira 100 meter dan menyebabkan Bhaskaran mati di tempat kejadian ekoran kecederaan parah," katanya di sini semalam.

Ahmad Ezzely berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat.

"Menurut pemandu bas ekspres berkenaan dia tidak perasan mangsa dan keretanya berada di tengah jalan," katanya, dan menambah kata siasatan lanjut sedang dijalankan. - BERNAMA

Artikel Lain