suria

Ghana Menang, Bapa Jadi Mangsa

GUA MUSANG: Oleh kerana geram Ghana menang 1-0 ke atas Serbia dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia malam tadi, seorang remaja bertindak menyepak bola di dalam rumahnya hingga terkena cermin tingkap dan mencederakan bapanya.

Rosli Mat Noor, 43, dari Ladang Chin Teck di sini mengalami pendarahan yang banyak apabila telinga kanannya terkena serpihan cermin tingkat tersebut, sehingga urat saraf di telingnya dikatakan terputus.

Beliau kemudiannya dirawat di Hospital Gua Musang dan menerima tiga jahitan.

Kejadian tersebut berlaku pada 10 malam ketika beliau sedang menonton pertandingan tersebut menerusi televisyen bersama anak sulungnya Mohd Rizal, 17.

"Tiba-tiba anak saya naik geram lalu menendang bola yang berada berhampiran kakinya dengan kuat menyebabkan bola terkena cermin tingkap lalu pecah.

"Serpihan kaca tingkap kemudianya tercucuk di telinga saya. Saya ketika itu duduk berhampiran tingkap di ruang tamu," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan.

Rosli berkata, pada mulanya beliau tidak menyedari serpihan kaca terkena telinganya, tetapi merasa pedih di telinganya.

Beliau lalu meraba telinganya dan mendapati tangan yang memegang telinganya itu berlumuran darah.

"Saya sempat menjerit kepada isteri saya memberitahunya menggenai perkara itu sebelum saya bergegas ke rumah jiran bagi mendapat bantuan untuk dihantar ke hospital.

"Saya kena tiga jahitan kerana doktor berkata, ada urat telinga saya terputus terkena serpihan kaca cermin," katanya.

Mohd Rizal yang tidak menyangka perbuatannya menendang bola di dalam rumah boleh mencederakan bapanya telah memohon maaf kepada bapanya. - BERNAMA

Artikel Lain