suria

Bahasa Cina Penting Dan Ia Satu Aset Untuk Menguasainya - Rosmah

BEIJING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu penuntut Malaysia di China supaya belajar bersungguh-sungguh dan memelihara imej negara agar mereka dapat menyumbang bagi pembangunan negara dan membantu memperkukuhkan hubungan persahabatan Sino-Malaysia selepas menamatkan pengajian nanti.

Mesej itu disampaikan kepada para penuntut oleh isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor semasa lawatannya ke Beijing Foreign Studies University (BFSU) di sini Isnin.

Rosmah diiringi anak lelaki bongsunya Nor Ashman, yang berada di sini bagi melanjutkan kursus bahasa China selama tiga minggu di BFSU semasa cuti musim panasnya.

Pada masa ini, Nor Ashman sedang melanjutkan kursus dua tahun bahasa China di Georgetown University, Washington di Amerika Syarikat.

"Ia merupakan harapan Perdana menteri agar Ashman dapat meningkatkan kemahiran perbualan dan kemahiran menulis semasa berada di BFSU," kata Rosmah yang memperkenalkan Nor Ashman kepada para penuntut China di BFSU, yang menuntut dalam pengajian Bahasa Melayu dan para penuntut Malaysia yang melanjutkan pengajian dalam bahasa Cina.

Kira-kira 116 penuntut Malaysia, kebanyakannya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang melanjutkan pengajian bahasa Cina di BFSU, dan 40 penuntut China melanjutkan pengajian dalam bahasa Melayu di BFSU.

Rosmah juga menekankan pentingnya menguasai sesuatu bahasa terutama dalam era globalisasi.

Beliau berkata adalah penting bagi menguasai bahasa Cina dan merupakan satu aset kerana China dijangka memainkan peranan penting di rantau ini dan di peringkat global.

"Bahasa China menjadi lebih penting di rantau ini berikutan kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi Asia," kata Rosmah.

Beliau berharap agar para penuntut Malaysia menghormati budaya, ideologi dan cara hidup masyarakat Cina.

Katanya para penuntut Malaysia bukan sahaja menimba ilmu pengetahuan di sini tetapi juga bertindak sebagai duta kecil negara bagi membantu menjalin hubungan erat di antara kedua buah negara. - BERNAMA

Artikel Lain