suria

Ahli Perniagaan Didakwa Tipu Syarikat Produk Kesihatan

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu sebuah syarikat produk kesihatan berhubung pembelian saham bernilai RM9.75 juta.

Poh Gaik Lye, 55, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Liqua Health Corporation Berhad di pejabat syarikat subsidiarinya, Liqua Health Marketing (M)Sdn Bhd di Taman Shamelin Perkasa di sini, antara 23 Feb dan 31 Julai 2007.

Mengikut kertas pertuduhan, Poh telah memanipulasi dan menggunakan muslihat sehingga Liqua Health Marketing menandatangani perjanjian pengedaran bertarikh 27 Feb 2007 dengan Wynsum Healthy Living Sdn Bhd.

Perjanjian itu menyebabkan Liqua Health Marketing memindahkan wang berjumlah RM12 juta ke akaun Wynsum dan Poh didakwa menggunakan sejumlah RM9.75 juta daripada wang itu untuk membeli 45,960,450 unit saham Liqua Health COrporation.

Dia didakwa mengikut Seksyen 87A(a) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280), dan boleh dihukum mengikut Seksyen 88B akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Hakim Jagjit Singh menetapkan 9 Julai untuk menyebut semula kes dan membenarkan Poh diikat jamin sebanyak RM800,000 dengan dua penjamin, serta memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Susheel Kaur manakala Poh diwakili peguam Ranjit Singh dan Amer Hamzah Arshad. - BERNAMA

Artikel Lain