suria

Prestasi Najib Tadbir Negara Cemerlang, Kata Abdullah

KEPALA BATAS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam mentadbir negara dan ini dibuktikan melalui pelaksanaan beberapa dasar baru yang telah memberi manfaat kepada rakyat, kata bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata antara kejayaan itu ialah pengenalan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang bermatlamat memastikan kesejahteraan rakyat dan kejayaan Malaysia tersenarai dalam kedudukan 10 negara paling kompetitif di dunia.

"Seperti contoh tersenarai di tempat kesepuluh negara paling kompetitif, fakta ini bukan direka dan ia bukannya dikeluarkan Barisan Nasional (BN) tetapi oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa.

"Tiada satu negara dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik. Ini satu perkara baik dan pihak lain tidak perlu lagi pertikai kredibiliti Perdana Menteri," katanya.

Abdullah yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata demikian ketika merasmikan Minggu Perpaduan peringkat negeri di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini hari ini.

Enam NKRA berkenaan ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, menambahbaik sistem pengangkutan awam, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan akses lebih luas kepada pendidikan.

Abdullah berkata Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) yang dibentangkan Najib pada Khamis juga merupakan pelan pembangunan lima tahun yang mapan.

Oleh yang demikian, katanya jangan ada pihak yang cuba mempertikaikan usaha Najib dalam mentadbir negara yang telah membuahkan hasil dan memberi banyak faedah kepada rakyat dan negara.

Sementara itu, beliau menyeru rakyat agar terus berpegang kepada semangat muafakat serta perpaduan bagi memastikan kelancaran pembangunan Malaysia.

"Berpegang kuat kepada perpaduan dan jangan timbulkan prasangka tidak baik di kalangan masyarakat. Kalau tiada perpaduan akan berlaku kacau bilau serta pergaduhan, tiada siapa senang dan merugikan ramai pihak," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Azman Amin Hassan. - BERNAMA

Artikel Lain