suria

Polis P.Pinang Tahan Dua Anggota Sindiket Judi Bola Sepak Piala Dunia

PULAU PINANG: Dua lelaki yang dipercayai anggota sindiket perjudian haram Bola Sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung, ditahan secara berasingan dalam operasi "Ops Soga" di sini semalam.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob berkata melalui kerjasama pasukan khas memantau sindiket perjudian bola sepak yang dikenali sebagai Ops Soga (soccer games), polis melakukan intipan di sebuah pusat hiburan di Jalan Argyll di sini setelah mendapat maklumat daripada orang ramai.

Katanya hasil risikan awal, seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai ejen sindiket pertaruhan judi haram itu dikesan duduk dalam keadaan mencurigakan dan dilihat sibuk menerima panggilan telefon sambil tangannya mencatat angka dipercayai jumlah pertaruhan yang diterima daripada pelanggannya.

"Selepas yakin dengan aktiviti yang dijalankan suspek, polis menyerbu pusat hiburan berkenaan kira-kira 11.15 malam. Suspek yang terkejut dengan kehadiran anggota polis tidak sempat melarikan diri," katanya pada sidang media selepas program gotong-royong komuniti Kampung Melayu bersama polis Pulau Pinang di sini hari ini.

Polis turut merampas tiga helai kertas mengandungi angka pertaruhan dan perlawanan bola sepak, dua buah komputer riba yang pada skrinnya tertera laman 'IBCBET', wang tunai berjumlah RM950 dipercayai hasil pertaruhan yang diaturkan serta alat tulis.

Difahamkan, sindiket terbabit sengaja memilih lokasi pusat hiburan itu sebagai tempat untuk mengatur pertaruhan kerana premis berkenaan dianggap mudah mendapat pelanggan 'tahi judi' serta tidak menimbulkan curiga kepada pihak berkuasa.

Ayub berkata kira-kira 15 minit selepas penahanan pertama, serbuan kedua dijalankan di sebuah kedai kopi di Jalan Datuk Keramat dan seorang warga emas berusia 65 tahun yang dipercayai anggota sindiket bookie haram pula ditahan.

Melalui penahanan kedua, polis merampas empat helai kertas mengandungi angka pertaruhan dan perlawanan bola sepak, sebuah telefon bimbit, senaskhah surat khabar yang memuatkan jadual perlawanan bola sepak dan alat tulis.

Kedua-dua suspek itu ditahan mengikut Seksyen 4A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang boleh didenda RM200,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain