suria

Murugiah Berinteraksi Dengan Penyokongnya Dalam PPP Melalui KPBN

IPOH: Bekas anggota majlis tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) Senator Datuk T. Murugiah berkata beliau akan menggunakan Kelab Penyokong Barisan Nasional (KPBN) sebagai platform untuk menyalurkan maklumat dan berinteraksi dengan penyokongnya dalam PPP yang didakwanya berjumlah 210,000.

Beliau berkata KPBN yang diterajuinya akan menjadi platform sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman berhubung kedudukannya sebagai Presiden PPP diputuskan mahkamah.

"Sekiranya keputusan mahkamah tetap memihak kepada Presiden PPP Datuk M. Kayveas selepas ini, kami akan mendaftarkan KPBN di pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Sementara itu, kami akan mengadakan konvensyen di seluruh negara bermula di Kedah sebelum Konvensyen Kebangsaan KPBN yang akan diumumkan kelak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, KPBN kini mempunyai 2,100 cawangan dengan keanggotaan sekurang-kurangnya 100 orang di setiap cawangan.

Pada 1 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 22 Jun ini untuk memutuskan permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Murugiah bagi membatalkan perisytiharan ROS bahawa Kayveas merupakan presiden PPP yang sah. - BERNAMA

Artikel Lain