suria

Kabinet Tangguh Pelaksanaan Gaji Baru Pengawal Keselamatan

PUTRAJAYA: Kabinet memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan gaji minimum baru untuk pengawal keselamatan yang dijadualkan pada 1 Julai ini bagi memberi lebih masa kepada pihak industri berkenaan untuk mengemas kini operasi mereka.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata penangguhan sementara pelaksanaan gaji minimum tersebut di bawah Perintah Peraturan Gaji Minimum Pengawal Keselamatan Swasta bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah susulan daripada permintaan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) kepada pihak kerajaan.

Setelah pengumuman dibuat bagi melaksanakan gaji minimum baru pada 1 Julai 2010, Kementerian Sumber Manusia telah menerima maklum balas daripada PPKKM yang memaklumkan bahawa perintah (peraturan Gaji Minimum) tersebut akan memberi implikasi kepada perniagaan mereka terutama berkenaan kontrak sedia ada.

PPKKM juga memohon supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan perintah itu untuk membolehkan mereka mengambil tindakan untuk mengemas kini operasi mereka sewajarnya, menurut kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, setelah mempertimbangkan rayuan PPKKM, Kabinet memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan gaji minimum bagi pengawal keselamatan.

Pada 22 April lalu, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam mengumumkan kenaikan gaji antara 67 dan 75 peratus kepada pengawal keselamatan bermula 1 Julai ini.

Melalui kenaikan ini, lebih 150,000 pengawal keselamatan dijangka dapat membawa pulang gaji bulanan antara RM1,100 dan 1,450, termasuk bayaran kerja lebih masa dan elaun-elaun.

Beliau dilaporkan berkata gaji minimum pekerja sektor kawalan keselamatan masa ini adalah dalam lingkungan antara RM300 dan RM400 sebulan.

Dr Subramaniam juga dilaporkan berkata keputusan menaikkan gaji itu dilakukan mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 dan berasaskan kepada pelbagai zon geografi.

Berikutan pengumuman penetapan gaji mimimum tersebut, PPKKM telah meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaannya sehingga 1 Januari tahun depan.

Presiden PPKKM, Datuk Shaheen Mirza Habib dilaporkan berkata penangguhan itu bagi mengelakkan 300 syarikat pengawal keselamatan Bumiputera di negara ini gulung tikar.

Shaheen berkata pihaknya memerlukan tempoh sehingga enam bulan untuk menyelesaikan masalah berkaitan kontrak perkhidmatan yang membabitkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain