suria

Boikot Israel Dari Akar Umbi, Batal Permit Kapal Dagang

KAPAL kargo milik Israel yang dibenarkan untuk berlabuh di Pelabuhan Klang bagi tujuan perdagangan telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati banyak pihak berikutan kekejaman rejim Zionis itu terhadap misi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei lalu.

Perkara mengenai kapal-kapal itu didedahkan baru-baru ini, malah disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Keadaan itu mengimbas kembali peristiwa kapal-kapal konvoi Flotila Pembebasan yang membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan bahan-bahan binaan telah ditawan oleh tentera Israel.

Pertama, serangan terhadap kapal milik Turki, Mavi Marmara yang mengorbankan banyak nyawa.

Kedua, Kapal MV Rachel Corrie yang menyertai konvoi yang sama turut ditawan tentera Israel.

Kedua-dua kapal itu membawa sukarelawan dari beberapa negara dunia termasuk 12 sukarelawan Malaysia (Mavi Marmara) dan enam sukarelawan (Rachel Corrie).

Tragedi serangan itu disifatkan sebagai tindakan sengaja tentera Israel bagi menggagalkan misi bantuan kemanusian untuk rakyat Palestin di Gaza.

Rentetan kejadian tragik itu, banyak pihak termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan supaya membatalkan segera permit yang membenarkan kapal kargo milik Israel untuk memasuki pelabuhan di negara ini.

Desakan itu bertujuan untuk menyekat sebarang bentuk hubungan dagangan dengan rejim Tel Aviv ekoran kekejaman yang dilakukan rejim Zionis itu terhadap rakyat Palestin serta misi bantuan ke Gaza pada 31 Mei lalu.

Israel turut memboikot

Tidakkah kita terfikir bahawa pihak Israel sendiri ‘memboikot’ kunjungan kita bersama sukarelawan daripada beberapa negara dunia yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza?

Sekatan yang berlaku di kawasan perairan antarabangsa itu dikecam hebat oleh tentera rejim zionis itu yang kononnya konvoi misi bantuan kemanusiaan itu mahu belayar ke Israel.

Malah, sukarelawan Malaysia dianggap Israel sebagai melakukan satu konspirasi lantaran Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan negara itu.

Sikap tidak berperikemanusiaan itu mencetuskan kemarahan seluruh dunia.

Ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri membentangkan usul yang mengutuk sekeras-kerasnya terhadap serangan tentera rejim Israel berkenaan.

Persidangan di Dewan Rakyat, Parlimen itu telah sebulat suara meluluskan usul tersebut.

Usul yang mempunyai 15 ketetapan itu antaranya menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

Apa yang disuarakan rakyat Malaysia sebenarnya merupakan satu bentuk sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin yang terus-menerus dizalimi rejim zionis.

Pemerhati politik, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan perlu telus mempertimbangkan cadangan untuk membatalkan segera permit yang membenarkan kapal kargo milik Israel untuk memasuki pelabuhan di negara ini.

"Mereka (kerajaan) perlu memastikan sama ada kapal-kapal daripada Israel itu benar-benar mempunyai kaitan dengan rejim zionis itu.

"Bukan semua Yahudi itu menyokong atau bersekongkol dengan Israel, malah mengecam kezaliman yang dilakukan terhadap Palestin," katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kerajaan mungkin dilema kerana sukar untuk membuat keputusan berikutan sekatan perdagangan dengan Israel itu bakal mencampur-adukkan antara ekonomi dan politik negara.

"Apapun yang diharapkan kepada kerajaan supaya menyelaraskan cadangan yang disuarakan itu dengan usul khas yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis itu," ujar Abdul Aziz.

Sekadar ‘serangan mesra’

Perdana Menteri sebelum ini pernah berkata, pengguna mempunyai hak sama ada mahu memboikot barangan utama Amerika Syarikat sebagai tanda protes terhadap negara itu yang menyokong sekutunya Israel.

Kita mempunyai pilihan untuk memboikot, maka kita juga mempunyai pilihan untuk memikirkan apa cara sekalipun bagi memastikan usaha memboikot Israel sehingga ke peringkat akar umbi.

Halangan perdagangan dengan Israel itu sebenarnya bersifat ‘serangan mesra’ kerana tiada sebarang senjata yang diperlukan atau menjadikan nyawa sebagai taruhan.

Namun, tindakan ini masih tegas dalam menyuarakan amaran kepada Israel supaya menghentikan penindasan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

Tindakan itu adalah wajar bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang aman jika dibandingkan dengan kezaliman Israel sehingga mengorbankan banyak nyawa tidak berdosa.

Ini sebenarnya memberi tekanan kepada Israel yang ketika ini seluruh dunia mengutuk sekeras-sekerasnya terhadap kekejaman rejim zionis itu.

Kita tidak mahu dikatakan sebagai ‘talam dua muka’ apabila berusaha untuk membawa bantuan kemanusian kepada rakyat Palestin yang dizalimi Israel.

Namun, pada masa yang sama kita memberi peluang kepada pihak Israel memasuki Malaysia menerusi hubungan perdagangan.

Membakar bendera Israel dan patung pemimpinnya, Benjamin Netanyahu mungkin sekadar penunjuk perasaan marah rakyat dunia terhadap kekejaman itu.

Sekatan terhadap hubungan perdagangan itu sebenarnya memperlihatkan bantahan lebih jelas dalam menambahkan tekanan kepada Israel supaya menghentikan kezaliman.

Bagaimanapun, apa saja tindakan atau desakan yang dilakukan sebagai memberi amaran Israel terhadap kekejaman rejim zionis itu, ia perlu diteliti sewajarnya.

Kajian yang menyeluruh perlu dipertimbangkan mengenai kesannya terhadap negara terutama ekonomi, politik dan keamanan.

Ini kerana serangan yang dilakukan terhadap Palestin termasuk kapal konvoi flotila sudah cukup membuktikan rejim Yahudi sanggup melakukan apa saja demi kepuasan dan kepentingan mereka.

Artikel Lain