suria

Polis Tahan Suspek Tiga Jam Selepas Pecah Rumah

PULAU PINANG: Tiga jam selepas memecah masuk sebuah rumah dan melarikan pelbagai barangan berharga, seorang lelaki berjaya ditahan polis dalam satu pemeriksaan di sebuah pangsapuri di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada 12.30 tengah hari oleh anggota unit risikan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kerana berada dalam keadaan mencurigakan di bawah pangsapuri berkenaan.

"Dalam siasatan yang dilakukan, suspek telah mengaku melakukan kes pecah rumah di Bandar Baru Farlim, Air Itam, kira-kira jam 10 pagi dan pihak polis turut menerima laporan kejadian daripada pemilik rumah berkenaan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, siasatan ke atas rumah sewa suspek telah membawa kepada penemuan pelbagai barangan berharga yang dipercayai hasil pecah rumah.

"Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai beberapa kes jenayah lampau dan dia turut mengaku mengambil dadah jenis ketamin," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan pecah rumah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain