suria

Pesalah Trafik Tetap Disenaraihitamkan Walaupun Tidak Terima Notis Saman

KUALA LUMPUR: Pesalah trafik yang gagal membayar saman dalam tempoh dua bulan akan disenaraihitamkan walaupun mereka tidak menerima notis saman kerana telah bertukar alamat tempat tinggal.

Timbalan Ketua Trafik Persekutuan, ACP Mohd Fuad Abd Latiff berkata, pemilik kenderaan perlu mengemaskini alamat terakhir mereka dalam kad pengenalan dan lesen memandu bagi mengelak daripada tidak menerima notis saman.

Katanya, kegagalan mengemaskini alamat akan menyukarkan proses penghantaran surat atau notis saman yang telah dikeluarkan kepada pesalah trafik.

"Dari sudut perundangan, selepas kamera merakam gambar nombor pendaftaran kenderaan yang dikenalpasti melanggar had laju, misalnya, surat akan dihantar kepada pemilik kenderaan berdasarkan alamat terakhir mereka," katanya kepada Bernama di sini semalam.

"Sama ada pengguna terima atau tidak (notis saman), kita sudah menjalankan tugas dan dalam tempoh dua bulan, jika gagal memberikan respons, nama mereka akan disenaraihitam," katanya.

Beliau berkata, saman yang dikeluarkan itu atau 'saman ekor' perlu dijelaskan sebelum dapat memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan.

Bagi kesalahan pada beberapa tahun lepas, kompaun atau diskaun masih lagi dalam perbincangan bersama pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), katanya.

Mengenai cadangan JPJ untuk mengenakan kompaun minimum RM300 bagi semua pesalah trafik yang liat menjelaskan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan, beliau berkata itu bukan hukuman sebaliknya cara bagi menyedarkan masyarakat supaya menjelaskan saman.

Mohd Fuad berkata, ketika ini belum ada kesedaran atau peningkatan jumlah bayaran saman bagi kesalahan trafik walaupun cadangan yang dikemukakan JPJ itu telah bermula bulan lepas.

"Saman dikeluarkan apabila mereka telah melanggar undang-undang..samada dapat diskaun atau tidak, adalah menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya untuk membayar saman."

Pengguna jalan raya boleh memeriksa sama ada mereka mempunyai saman trafik atau disenaraihitamkan dengan melayari laman web http://www.rilek.com.my, tp://www.myeg.com.my atau http://www.eservices.com.my - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain