suria

Panel Khas Cadang IGSO Malaysia Contohi Modul Polis Kanada

PUTRAJAYA: Panel khas, yang ditubuhkan untuk memantau siasatan kematian Aminulrasyid Amzah, mencadangkan supaya Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) diubah suai dengan mencontohi modul Polis Ontario, Kanada.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop berkata panel khas sehingga kini telah menghasilkan dua draf cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam IGSO.

"Kami telah membuat perbandingan mengenai prosedur operasi standard dengan beberapa negara seperti Amerika Syarikat serta Kanada, dan kami merasakan kita perlu mengikuti modul yang digunakan Polis Ontario, Kanada.

"Perintah Tetap mereka (dilaksanakan) dengan cara penilaian pada keadaan, berasaskan kepada modul asas bagi tindakan kekerasan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Abu Seman, yang mengetuai panel khas, berkata IGSO Polis Diraja Malaysia hanya menyentuh mengenai penggunaan senjata api tetapi panel khas berpendapat ia seharusnya meliputi aspek lain seperti arahan lisan, teknik memberikan bantuan, penggunaan alat semburan, gari, senjata taser dan cota.

Beliau berkata panel khas bekerjasama rapat dengan polis mengenai cadangan berkenaan dan akan mengemukakannya kepada Menteri Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain