suria

Tiga Kes Baru H1N1 Di Johor

KUALA LUMPUR: Satu kluster penyakit serupa influenza (ILI) melibatkan tujuh orang termasuk tiga orang yang diuji positif influenza A (H1N1) di Johor dilaporkan hari ini.

Kesemua mereka dari Kampung Sari Baru, Pagoh, dimasukkan ke hospital dan diberi rawatan antiviral, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan.

Beliau berkata penambahan kes tersebut menjadikan jumlah kes baru yang sah positif H1N1 sebanyak 31 dan jumlah terkumpul kes sebanyak 15,050 kes setakat ini.

Bagaimanapun, jumlah kluster ILI yang masih aktif di seluruh negara telah berkurangan kepada 35 berbanding 40 pada hari sebelumnya.

Sebanyak 501 kes ILI dirawat di wad hospital seluruh negara dan hanya 53 kes adalah positif H1N1.

Lapan kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan enam daripadanya adalah individu yang mempunyai faktor risiko.

Jumlah kematian kekal 88 orang.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus H1N1 serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300. -BERNAMA

Artikel Lain