suria

PAS Akui Belum Mampu Laksana Undang-Undang Islam

KOTA BAHARU: PAS belum mampu untuk melaksanakan undang-undang Islam di negeri yang diperintah pakatan pembangkang, kata presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata parti itu terpaksa mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri.

Malahan beliau menyalahkan kelemahan itu berpunca daripada tekanan daripada kerajaan pusat secara terbuka dan halus.

"PAS yang berjaya memerintah Kelantan, pernah di Terengganu dan Perak, dan terkini memimpin kerajaan di Kedah di samping menyertai kerajaan campuran di Selangor dan Pulau Pinang telah mencuba sedaya upaya melaksanakan Islam mengikut bidang kuasa kerajaan negeri," katanya dalam ucapan dasar merasmikan Muktamar ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bagaimana bentuk halangan dan tekanan yang dilakukan kerajaan pusat.

Ucapan dasar Abdul Hadi pada muktamar itu, yang bertemakan "Islam Adil untuk Semua", lebih banyak retorik dengan banyak menuduh Umno dan Barisan Nasional (BN) melakukan kesilapan dalam pentadbiran negara.

"PAS wajib berjuang mengembalikan martabat umat Islam ke atas landasan yang sebenar dalam segala lapangan, dan seterusnya memulihkan imej Islam walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain