suria

Mahkamah Tetapkan 9 Julai Saman RM480 Juta Terhadap Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 9 Julai depan bagi memutuskan saman RM480 juta yang difailkan sebuah syarikat perkhidmatan menaik taraf pesawat pejuang F5 terhadap kerajaan Malaysia dan dua lagi kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian.

Hakim Datuk Abdul Wahab Patail memerintahkan plaintif, Langkawi R&D Academy Sdn Bhd, dan defendan iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan dan kerajaan, mengemukakan hujahan bertulis sebelum tarikh tersebut.

Beliau berkata jika hujahan mana-mana pihak tidak diterima, maka mahkamah akan membuat keputusan dengan pertimbangan bahawa pihak berkenaan telah memilih untuk tidak mengemukakan hujah.

Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 2005, Langkawi R&D Academy Sdn Bhd berkata syarikat itu menandatangan satu perjanjian dengan defendan dan disaksikan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi kerja-kerja peningkatan taraf pesawat F5 pada 11 Januari 2001.

Menurut perjanjian, defendan akan membayar sebanyak RM4.8 juta setahun untuk tempoh maksimum 10 tahun, berjumlah RM48 juta, kepada plaintif selepas kerja-kerja peningkatan taraf pesawat F5 itu dilakukan.

Perjanjian itu turut menyebut bahawa jika terdapat pelanggaran perjanjian oleh plaintif, defendan harus memberi notis bertulis yang munasabah dan penamatan hanya boleh dibuat selepas 30 hari notis itu.

Syarikat itu mendakwa telah melakukan kerja-kerja menaik taraf pesawat itu melalui CAS Ltd, sebuah syarikat yang dilantik sebagai sub-kontraktor, dan kemudiannya menamatkan perkhidmatan syarikat berkenaan pada 26 Jan 2002 selepas mendapati komitmennya tidak memuaskan.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan telah berunding secara peribadi dengan CAS Ltd untuk meneruskan kerja menaik taraf pesawat dan ia (Langkawi R&D Academy Sdn Bhd) pula dihalang memasuki pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth bagi menyambung tugasannya.

Syarikat itu juga mendakwa pada 21 Mei 2002, CAS Ltd telah diumum memperoleh kebenaran defendan bagi meneruskan kerja-kerja peningkatan taraf pesawat, menerusi berita yang disiarkan oleh akhbar The Malay Mail.

Plaintif mendakwa menerima surat penamatan kontrak daripada defendan pada 6 Sept 2002 untuk menamatkan perjanjian itu atas alasan bahawa plaintif gagal mengemukakan bon pelaksanaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kontrak ditandatangani dan gagal menghantar satu unit "flyable technology demonstrator" sebelum 15 Oktober 2001, sebagaimana diperuntukkan perjanjian itu.

Plaintif menuntut ganti rugi akibat penamatan kontrak secara tidak sah sebanyak RM48 juta, ganti rugi kehilangan kontrak pada masa akan datang sebanyak RM432 juta, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain dari mahkamah.

Defendan, dalam pernyataan pembelaaan, berkata syarikat itu gagal untuk telah memberikan perkhidmatan dan kontrak itu diberikan kepada pihak lain.

Peguam N.Surendran yang menyebut bagi pihak M. Manogar mewakili plaitif manakala peguam kanan persekutuan Noramilia Mohd Saad dan Norhafizza Azizan mewakili ketiga-tiga defendan. -BERNAMA

Artikel Lain