suria

Khalid Pertikai RMK-10, Dakwa Abai Selangor

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertikaikan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dengan mendakwa ia mengabaikan pembangunan di Selangor dan Lembah Klang.

Beliau juga menyifatkan pentadbiran Najib sebagai telah hilang fokus dalam mencapai matlamat RMK-10.

“Adakah keputusan mengabaikan Selangor dalam fokus pembangunan ini disebabkan politik? Jika ya, keputusan ini telah membelakangkan kepentingan rakyat.

“Saya ingin menegaskan bahawa usaha mentranformasi ekonomi Malaysia perlu diberi penekanan terhadap tiga perkara penting iaitu penilaian semula saiz sektor awam dan meliberalisasi saluran tranformasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Abdul Khalid berkata, RMK-10 hanya memberi fokus terhadap pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), tetapi tidak di Selangor dan Lembah Klang.

“Saya menegaskan IDR, NCER dan ECER adalah projek untuk mendapatkan modal benih bagi pembangunan tanah dan infrastruktur.

“Apabila memperkatakan tentang pembangunan, Selangor dan Lembah Klang yang menjadi pemangkin pembangunan kepada Malaysia selama ini langsung tidak dinyatakan dalam RMK-10.

“Perdana Menteri hanya menyebut rangsangan ekonomi ditumpukan kepada Kuala Lumpur yang merupakan sebahagian kecil Lembah Klang,” katanya.

Menurut beliau, Selangor yang merupakan sebahagian daripada Bandar gabungan Lembah Klang adalah kawasan tengah industri dan perdagangan di negara ini sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.

“Selangor juga mempunyai penduduk berjumlah lima juta serta menyumbang kutipan cukai paling tinggi, jadi ia sepatutnya layak dimasukkan dalam pelan pembangunan kerajaan.

“Selain itu, tidak wajar jika pentadbiran Najib mengabaikan Selangor yang menempatkan paling banyak bilangan universiti dan pusat pengajian tinggi.” Abdul Khalid juga mempersoalkan pentadbiran Najib sama ada sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industry paling banyak pada 2008 dan 2009.

“Adakah pentadbiran Najib sengaja mengabaikan fakta bahawa Selangor merekodkan jumlah projek industri paling banyak pada 2008 dan 2009, selain menjadi negeri paling banyak mencipta peluang pekerjaan serta mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Semenanjung?

“Jika Perdana Menteri melihat kepada sektor yang disasarkan pembangunannya iaitu sektor pendidikan, pelancongan dan kesihatan, kesemua sektor ini berpusat di Lembah Klang.

“Selain itu, sektor industri dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) semuanya tertumpu di Lembah Klang,” katanya.

Artikel Lain