suria

FOMCA Serah Memorandum Kepada PM, Sokong Lesen Runcit Barang Kawalan

PUTRAJAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyokong langkah kerajaan menguatkuasakan Lesen Runcit Barang Kawalan 2010 untuk menjual barang kawalan.

Presiden Fomca Datuk Marimuthu Nadason menerusi memorandum tersebut berkata, keputusan kerajaan itu amat wajar sekali bagi memastikan tidak wujud ketirisan terhadap bekalan barangan kawalan yang diberikan subsidi oleh kerajaan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan.

Katanya, langkah ini juga bagi tujuan mengawal rantaian bekalan barangan kawalan harga benar-benar mencapai objektifnya untuk kegunaan isi rumah dan mengelak daripada ia dijual untuk tujuan komersial, disorok atau diseludup.

"Terdapat 80,000 peruncit di dalam negara yang tidak dikawal dari segi bekalan barang kawalan. Ini boleh mewujudkan ketirisan kepada barang kawalan kerana sesiapa sahaja boleh mendapatkan bekalan daripada pemborong," katanya.

Semalam Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Mohd Zain Mohd Dom berkata, kira-kira 60,000 daripada 80,000 peruncit di seluruh negara memberi jaminan tidak akan terlibat dengan boikot oleh Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia yang sebelum ini menyuarakan hasrat kemungkinan menghentikan penjualan tiga barang kawalan bermula Selasa ini.

Katanya, kerajaan akan menggunakan saluran lain untuk membekalkan gula, tepung gandum dan minyak masak kepada pengguna.

Marimuthu berkata, pihaknya berharap kerajaan akan bertegas untuk meneruskan peraturan ini bagi kepentingan pengguna, khususnya krisis bekalan gula yang meruncing pada masa ini di beberapa buah negeri.

"Kami juga akan menggesa seluruh pengguna, serta anggota gabungan NCWO, Cuepacs dan MBM supaya memboikot peruncit yang tidak mahu menjual barang kawalan tersebut," katanya.

Menurut memorandum itu Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) turut bersetuju terhadap keputusan kerajaan melaksanakan semula lesen runcit barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu Yang Di Pertua Persatuan Kebajikan Peniaga-Peniaga Bumiputera Bahagian Pasar Malam Wilayah Persekutuan dan Selangor S.Yalit Hashim pula dalam satu kenyataan hari ini turut menyokong keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhubung perkara itu. Beliau berkata, pihaknya sedia menerima tanggungjawab sebagai pembekal terus kepada pengguna sekiranya pihak terbabit benar-benar memboikot barangan itu di kedai-kedai runcit milik mereka di seluruh negara.

"Tindakan ini merupakan tanggungjawab sosial bagi membantu pihak kementerian dalam menangani isu yang ditimbulkan dan mencari jalan penyelesaian bagi jangka pendek mahupun jangka panjang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain