suria

RMK10 - Penswastaan

KUALA LUMPUR: Satu gelombang baru penswastaan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) bagi meningkatkan pelaburan swasta di dalam ekonomi, menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Penswastaan dan perkongsian awam-swasta (PPP) akan dipergiatkan lagi di dalam tempoh RMK10 melalui pelaksanaan 52 projek yang dianggarkan bernilai RM62.7 bilion, demikian menurut laporan RMK10 2011-2015 oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan di sini hari ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membentangkan RMK10 di Dewan Rakyat hari ini.

EPU berkata, projek yang sedang dipertimbangkan termasuk tujuh lebuhraya bertol, lima kampus cawangan Universiti Teknologi MARA, Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak, penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang dan pembangunan semula Kompleks Angkasapuri, Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Media.

Bagi memastikan penjanaan nilai, strategi untuk memperkukuhkan penswastaan dan PPP akan merangkumi "monetisation" aset awam, menyediakan semakan terperinci bagi memastikan syarikat pencadang memenuhi kriteria minimum, memperkukuh rangka kerja pemantauan dan menerima pakai kaedah nilai untuk wang.

Meningkatkan program penswastaan dan PPP, menubuhkan dana fasilitasi dan mencapai keseimbangan yang sesuai adalah tiga inisiatif utama yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk merasionalisasikan penglibatan kerajaan dan GLC dalam perniagan bagi meningkatkan penyertaan sektor swasta.

Menurut laporan itu, dana fasilitasi akan diwujudkan bagi memudahkan pelaburan sektor swasta dalam projek yang mempunyai nilai strategik kepada negara dan kesan pengganda yang tinggi.

"Dana bernilai RM20 bilion akan digunakan bagi merapatkan jurang daya maju pelaburan swasta dalam bidang keutamaan seperti projek infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan kesihatan," katanya.

Projek yang sedang dipertimbangkan termasuk Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor dan Bekalan Air Mentah ke Kompleks Perindustrian di Tanjong Langsat, Johor.

Laporan itu menyatakan projek yang mempunyai nilai kos modal minimum atau pelaburan RM10 juta layak diberi pertimbangan dan dana ini akan diguna bagi membiayai kos tanah dan kemudahan asas.

Katanya ada keperluan untuk memastikan keseimbangan yang sesuai antara kerajaan, GLC dan sektor swasta serta mewujudkan garis pemisah di antara pengawal selia dengan pengendali.

EPU juga berkata, peranan GLC akan diber tumpuan kepada bidang yang membantu merancakkan sektor swasta.

Pada masa yang sama, katanya GLC akan mengurangkan penglibatan dalam bidang yang tidak meningkatkan nilai.

Sementara itu, bagi merasionalisasikan peranan sektor awam, penswastaan syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan seperti Percetakan Nasional Bhd dan Nine Bio Sdn Bhd akan diselesaikan dalam tempoh rancangan itu.

"Kerajaan akan melupuskan pemilikan sahamnya untuk memastikan aset dipegang secara meluas dan inisiatif pelupusan serta peswastaan tidak memberi kesan negatif kepada kepentingan awam," kata laporan itu.

Garis pemisah yang jelas di antara peranan pengawal selia dengan peserta pasaran akan diperkenalkan, oleh itu, peranan kerajaan dalam bidang kesihatan awam, bekalan elektrik dan telekomunikasi akan dikaji semula dalam tempoh rancangan itu.

"Ini akan menghapuskan herotan, menggalak persaingan sihat antara semua peserta, mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta mewujudkan keadaan permintaan dan penawaran yang sesuai," kata laporan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain