suria

RMK10 - Pendidikan

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dalam isi rumah 40 peratus terendah akan terus diberi peluang pendidikan saksama dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk meningkatkan pencapaian pendidikan dan kemahiran mereka.

Menurut laporan RMK10 yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, antara cabaran dihadapi kanak-kanak itu ialah persekitaran rumah yang tidak kondusif kepada pembelajaran dan pendapatan keluarga yang rendah hingga menyukarkan membeli peralatan sekolah.

Dalam tempoh RMK10, usaha akan dilakukan untuk menangani isu-isu berkaitan dengan kos dan halangan geografi untuk hadir ke sekolah serta penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Menurut laporan itu, dalam tempoh RMK9, pelajar yang mempunyai pencapaian akademik tinggi diberi peluang belajar di sekolah lebih baik di kawasan bandar yang melibatkan pelajar darjah lima dan darjah enam.

Menerusi konsep ini, kanak-kanak tersebut dapat meningkatkan pencapaian pendidikan mereka apabila mempunyai kemudahan lebih baik dan akses kepada guru cemerlang.

Selain itu, program 1Asrama pula akan diperluaskan bagi membolehkan kumpulan pelajar daripada pelbagai etnik dari sekolah rendah dan menengah di bandar, ditempatkan di asrama untuk menyediakan sokongan pembelajaran dan persekitaran yang lebih kondusif.

Pelajar yang layak akan menerima bantuan daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) seperti elaun, biasiswa, makanan tambahan, pakaian seragam serta yuran tuisyen dan pengangkutan, menurut laporan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain