suria

RMK10 - Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Polis akan membuat saringan terhadap penjaga kanak-kanak untuk menjamin keselamatan dan pelindungan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan pihak lain seperti pusat jagaan, pusat asuhan dan tadika, menurut laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Sebagai keselamatan tambahan, laporan itu berkata, satu sistem amaran untuk kanak-kanak yang hilang dan tidak dapat dikesan (seperti buletin AMBER Alert di Amerika Syarikat) akan diwujudkan melalui kerjasama media massa dengan agensi penguatkuasa undang-undang.

Dalam tempoh Rancangan itu, pusat aktiviti kanak-kanak akan diperkukuhkan untuk melindungi kanak-kanak, terutama daripada keluarga berisiko tinggi, daripada terlibat dalam kegiatan sosial yang tidak diingini serta kemungkinan didera.

Pusat itu ditubuhkan mengikut keperluan tertentu masyarakat setempat dan menyediakan perkhidmatan kebajikan kanak-kanak yang menyeluruh termasuk aktiviti sukan dan sosial, program pembelajaran dan kemudahan kaunseling.

Selain itu, usaha untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, memperkukuh program sokongan termasuk peningkatan keupayaan pemberi khidmat penjagaan dan menaik taraf kemudahan dan institusi kebajikan sedia ada seperti pusat pemulihan dan rumah kebajikan kanak-kanak juga akan diteruskan. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain