suria

RMK10 - EKS

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengurangkan kos kawal selia Enterpris Kecil Sederhana (EKS), mengecualikannya daripada beberapa peraturan, serta menghasilkan 2,000 perniagaan baharu oleh golongan pelajar dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dalam usaha melahirkan juara perniagaan domestik, serantau dan global.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri berkata dua isu kritikal EKS yang sering dihadapi ialah proses memula dan menamatkan perniagaan, dengan Malaysia mengisi kedudukan di tempat ke-88 dan 57 oleh kaji selidik Bank Dunia 2010.

"Beberapa peraturan akan dikecualikan terhadap syarikat yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja, seperti urusan pendaftaran perniagaan dan keperluan tenaga kerja, dengan kaedah ini dilihat berkesan dalam merangsang aktiviti keusahawanan," kata EPU dalam laporan RMK-10 (2011-2015) hari ini.

Dalam usaha menyokong kewujudan budaya keusahawanan, kerajaan akan menambah baik Program Internship Universiti-EKS, dengan penuntut universiti yang berkemahiran khusus, akan ditempatkan di syarikat dalam tempoh tertentu.

"Program keusahawanan akan dipromoskani kepada golongan muda menerusi pengenalan pertandingan pelan perniagaan bagi mewujudkan 2,000 perniagaan baharu oleh pelajar dan graduan pada akhir tempoh rancangan," katanya.

Untuk penyokong pertumbuhan inovasi, EPU berkata, 1-InnoCERT akan diperkenalkan untuk mengiktiraf EKS berdasarkan pencapaian inovasi dan pengkomersilan.

"Syarikat yang menerima sijil ini akan memperoleh manfaat seperti potongan cukai untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan, dan keutamaan dalam perolehan kerajaan," katanya.

Selain itu, Skim Jaminan Modal Kerja (WCGS) yang diwujudkan menerusi pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2008 dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion untuk membantu syarikat semasa kelembapan ekonomi, juga akan diperkenal semula.

Melalui inisiatif-inisiatif ini, 16,000 EKS disasarkan berupaya mengembangkan perniagaan dan menambah baik penarafan bintang dalam sistem SCORE dalam tempoh RMK-10.

Segala hasil pemantauan dan kesan menerusi program yang dijalankan, akan dilaporkan oleh SME Corp Malaysia terus kepada Majlis Pembangunan EKS Kebangsaan (NSDC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, setiap tahun. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain