suria

RMK10 - Bandar Raya

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya atau "Greater KL" akan dijadikan bandar bertaraf dunia yang mempunyai persekitaran memberangsangkan sebagai tempat tinggal, bekerja dan beriadah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, keselesaan hidup di bandar raya adalah faktor penting untuk mendapatkan modal insan yang berkemahiran tinggi di persada global.

"Seseorang memilih sesuatu bandar untuk menetap bukan sahaja kerana adanya peluang pekerjaan tetapi mereka juga mencari tempat yang berdaya maju dan sesuai untuk didiami," kata laporan itu.

Antara inisiatif utama yang dirancang dalam RMK10 bagi tujuan itu ialah;

* Pembangunan wilayah kewangan antarabangsa, pembangunan semula lapangan terbang Sungai Besi, pembangunan perbandaran Sungai Buloh, penubuhan kemudahan konvensyen bertaraf bertaraf dunia yang bersepadu, Pusat Malaysia Truly Asia.

* Pelaburan besar dalam pengangkutan awam termasuk perluasan liputan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kuala Lumpur dan pelaksanaan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) secara besar-besaran.

* Pembangunan semula bandar untuk memulih dan melindungi bangunan warisan serta meningkatkan nilai tanah seperti pembangunan semula Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu, Kuala Lumpur adalah bandar ke-11 di Asia yang selesa untuk didiami dan berpotensi untuk menjadi antara lima bandar terbaik selain berada dalam kedudukan istimewa sebagai bandar raya yang sangat selesa dan kosmopolitan.

Bagi menarik modal insan berkemahiran dari luar negara, Kuala Lumpur akan digambarkan sebagai sebuah bandar raya bagi mereka yang mengutamakan kualiti dan kepelbagaian gaya hidup, bercirikan alam semula jadi, kaya dengan budaya dan metropolis moden dengan infrastruktur canggih.

Bandar lain seperti George Town, Johor Baharu, Kuching dan Kota Kinabalu juga dirancang supaya menjadi lebih menarik dan selesa untuk didiami dengan ruang seperti taman, dataran awam, laluan pejalan kaki serta tebingan sungai.

Mengikut unjuran pertumbuhan semasa, kawasan bandar di Semenanjung Malaysia perlu menampung pertambahan enam juta penduduk bagi tempoh 2010 hingga 2020 manakala pembangunan di Greater KL adalah terhad dan tidak dapat menampung permintaan yang meningkat.

Justeru, langkah akan diambil untuk memastikan setiap bandar satelit atau bandar di sekeliling pusat bandar utama menjadi tempat yang berdaya maju untuk didiami, bekerja dan beriadah. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain