suria

RMK10 - Awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan persaingan dan mekanisme pasaran dalam perkhidmatan awam di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) untuk bertindak sebagai sebuah syarikat yang kompetitif.

Usaha dalam bidang ini termasuk penarafan balai polis, sekolah-sekolah berdasarkan tahap prestasi, memperkenal pembiayaan berbanding permintaan dalam pendidikan tinggi, dan penarafan prestasi pihak berkuasa tempatan.

Menurut Unit Perancang Ekonomi (EPU), satu tahap kolaborasi dan kerjasama yang lebih tinggi antara agensi akan digunapakai oleh kerana struktur kerajaan bagi menyokong ekonomi berpendapatan tinggi adalah berbeza dari yang diperlukan bagi menyokong ekonomi berpendapatan pertengahan.

Isu-isu dan cabaran yang dihadapi akan juga berbeza," jelas unit di bawah Jabatan Perdana Menteri itu, dalam Laporan Rancangan Malaysia ke-10 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Oleh itu, empat bidang diutamakan iaitu merasionalisasi organisasi dan struktur yang sedia ada; keupayaan binaan dalam organisasi yang difokus kepada keutamaan-keutamaan nasional; menubuhkan unit pemantau prestasi tinggi; dan menarik, memaju dan mengekalkan bakat utama dalam perkhidmatan awam.

"Langkah-langkah di bawah rasionalisasi termasuk menyelaras fungsi dalam industri perikanan yang akan melibatkan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia," kata EPU.

Untuk memperkukuh kementerian dan agensi yang bertanggungjawab bagi mempermudah dan menyampaikan prioriti nasional yang utama, sebuah Perbadanan Bakat bebas yang baru akan ditubuhkan tahun depan," katanya.

Kerajaan akan juga menubuhkan Inovasi Malaysia, sebuah unit yang akan bertanggungjawab menyelia dan menyelaras inisiatif inovasi bagi menambah baik kualiti penyelidikan dan pembangunan dan sumbangannya kepada penjanaan Harta Intelektual (IP).

EPU menyatakan, strategi akan juga dilaksanakan bagi memaju dan mengekalkan bakat utama dalam perkhidmatan awam yang termasuk mengenal pasti bakat di peringkat awal dan menaikkan profil perkhidmatan awam.

Antara lain, kerajaan terus memperkukuh program biasiswa dengan sasaran menyediakan 60,000 biasiswa tempatan dan seberang laut, pertambahan 27 peratus yang ditawarkan berbanding rancangan sebelumnya.

Tahun lepas, terdapat 1.27 juta pekerja dalam perkhidmatan awam dengan 47 peratus atau kira-kira 600,000 berkhidmat sebagai guru, doktor, jururawat, polis dan anggota angkatan tentera sementara selebihnya dalam pelbagai peranan pentadbiran.

EPU menjelaskan RMK10 akan menyaksikan anjakan utama dalam pendekatan yang diambil iaitu anjakan dari infrastruktur fizikal kepada infrastruktur bukan fizikal.

Unit itu menyatakan bahagian pembiayaan pembangunan bagi infrastruktur bukan fizikal akan ditambah kepada kira-kira 40 peratus dari 22 peratus yang diperuntukkan dalam rancangan lima tahun sebelumnya.

Kerajaan akan terus beranjak daripada membina dan mengendali perkhidmatan awam kepada membeli perkhidmatan daripada sektor swasta," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain