suria

RMK10 - Alam Sekitar II

KUALA LUMPUR: Agenda Malaysia berkaitan alam sekitar di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) adalah memelihara alam sekitar dan pada masa yang sama meraih faedah ekonomi daripada proses tersebut.

Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan di bawah RMK-10 memberikan tumpuan terhadap pelaksanaan pelan dan Dasar Alam Sekitar Negara (2002), Dasar Teknologi Hijau Negara (2009) dan Dasar Perubahan Iklim Negara (2009).

Menurut laporan RMK-10 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, aspek penting ialah memastikan kemampanan pengurusan sumber.

Menurut laporan itu, risiko terbesar bagi mengekalkan kemampanan sumber semula jadi adalah penetapan harga yang terlalu rendah berbanding harga pasaran terutamanya minyak, gas dan air.

Justeru, dalam tempoh RMK-10, dasar tenaga akan menumpu kepada peralihan secara beperingkat ke arah harga pasaran bagi gas menjelang 2015 manakala tarif air akan distruktur semula bagi meliputi pemerolehan semula kos sepenuhnya.

Sementara terdapat peluang besar untuk memperoleh nilai ke atas khazanah alam semula jadi.

Menurut laporan itu, bagi membiayai usaha meningkatkan kemampanan alam semula jadi, inisiatif yang akan diambil termasuk memperkenalkan mekanisme Feed-in Tariff (FiT) untuk membantu membiayai pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui.

Sebagai langkah permulaan, kerajaan telah memperkenalkan kerangka kerja AFFIRM yang menggariskan pendekatan ke arah membentuk ekosistem yang menyeluruh untuk kemampanan alam sekitar.

AFFIRM ialah akronim bagi Kesedaran, Fakulti, Kewangan, Infrastruktur, Penyelidikan dan Pemasaran bagi membangun satu ekosistem yang lengkap untuk kemampanan alam sekitar.

Dalam tempoh RMK-10, usaha akan bertumpu kepada dua bidang utama iaitu membentuk strategi pembangunan kental persekitaran dan mempertingkat pemuliharaan aset ekologi negara.

Laporan itu menyatakan dalam menangani kesan perubahan iklim, Malaysia akan mengguna pakai dua strategi iaitu pertamanya adaptasi strategi untuk melindungi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dan keduanya strategi mitigasi bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Sementara itu, untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, kerajaan telah melancarkan beberapa program yang menumpukan kepada lima aspek:

* Mewujudkan insentif lebih menarik bagi pelaburan dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, termasuk pengenalan 1 peratus FiT. * Menggalakkan kecekapan tenaga bagi penggunaan secara produktif, * Menambah baik pengurusan sisa pepejal. * Memulihara kawasan hutan * Mengurangkan pelepasan untuk meningkatkan kualiti udara. Ini termasuk asap daripada kenderaan bermotor, industri serta mencegah pencemaran jerebu daripada pembakaran dan kebakaran hutan. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain