suria

RMK10 - 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menggunakan sepenuhnya kepelbagaian etnik dan budaya 1Malaysia serta kedudukannya yang strategik di tengah benua Asia untuk kekal berdaya saing.

Menurut laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang dibentang di Parlimen hari ini, kepelbagaian budaya memberikan kelebihan untuk membina rangkaian perdagangan dan pelaburan yang lebih besar dalam konteks ekonomi global.

"Tiga kumpulan etnik utama di Malaysia dengan sendirinya mewujudkan hubungan dengan negara China, India dan Indonesia iaitu tiga negara terbesar dan berkembang pantas di rantau ini. "Islam sebagai agama rasmi negara menghubungkan Malaysia dengan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) termasuk negara Teluk yang kaya dengan sumber petroleum," kata laporan itu.

Dalam konteks itu, kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada syarikat Malaysia untuk meneroka peluang perdagangan baru melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Kerajaan juga akan menubuhkan Talent Corporation untuk mengumpulkan modal insan cemerlang termasuk rakyat Malaysia dari seluruh dunia untuk dijadikan pakar rujuk, memperluaskan jaringan perniagaan di peringkat antarabangsa dan membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran luar negara.

Ekoran momentum pertumbuhan ekonomi global yang menjurus kepada rantau Asia, Malaysia akan memberikan tumpuan lebih kepada rantau Asia dan negara ASEAN yang berkembang pesat tanpa mengetepikan pasaran eksport tradisional seperti Australia, Eropah dan Amerika Syarikat, kata laporan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain