suria

Pimpinan PAS Dikritik Gagal Laksana Program Untuk Golongan Muda

KOTA BHARU: Perwakilan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat mengkritik kepimpinan tertinggi sayap itu kerana gagal melaksanakan program yang dilancarkan bagi mendekati golongan muda.

Perwakilan Perlis, Mohd Iqbal Mohd Sharif berkata, beliau kecewa program seperti 'Jom sertai PAS' dan 'Orang muda geng kita' hanya dilihat lebih bersifat 'hangat-hangat tahi ayam'.

"Buktinya laman web bagi program berkenaan juga sudah ditutup, jadi saya harap lepas ini program ini akan diteruskan dan dihidupkan semula," katanya ketika berucap membahas ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di Pusat Dagangan Kelantan di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Iqbal berkata, Pemuda PAS perlu berusaha memenangi hati golongan muda sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Jelasnya, PAS tidak boleh terus berpuas hati dengan kehadiran ramai golongan muda pada ceramah yang dianjurkan kerana tidak mustahil golongan berkenaan akan meninggalkan parti jika tiada usaha untuk memastikan mereka terus setia dengan PAS.

"Kita perlu tarik seramai mungkin golongan muda untuk sertai PAS, tapi pada yang sama kita perlu teruskan program agar mereka ini boleh terus kekal bersama kita.

"Kita jangan leka, mungkin pada hari ini kita bangga sebab ramai pemuda sertai kita, tapi sekiranya kita tak berjaya terus tarik perhatian mereka... tak mustahil mereka akan lari," katanya.

Dalam pada itu Mohd Iqbal melahirkan kekecewaannya kerana jawatankuasa Dewan Pemuda PAS tidak turun padang ke Perlis.

"Seolah-olah kami ini dianaktirikan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat... mungkin sebab negeri kami kecil.

"Mungkin juga mereka berikan alasan bahawa nak pergi ke Perlis susah kerana tak ada lapangan terbang... tapi saya fikir kalau ada pun mungkin mereka akan terus pergi ke Thailand," katanya sambil disambut gelak tawa para perwakilan.

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain