suria

Perwakilan Persoal Mengapa Tiada Poster Timbalan Presiden PAS

MACHANG: Apakah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa ditolak di Kelantan? Itu antara persoalan yang timbul pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-56 di sini kali ini, apabila tidak ada gambar Nasharuddin dipamerkan pada poster atau kain pemidang sempena muktamar itu.

Persoalan tersebut dibangkitkan oleh perwakilan ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS Pusat pada muktamar itu hari ini.

Bagaimanapun Pengerusi Lajnah Penerbitan Dewan Ulama PAS Pusat, Abdullah Abdul Razak menafikan bahawa gambar Nasharuddin tidak diletakkan disebabkan beliau tidak diterima di Kelantan sebaliknya memberi keutamaan hanya kepada gambar pimpinan tertinggi sahaja.

"Gambar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah memadai untuk mewakili kesemua saf kepimpinan parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui kemudiannya.

Latar belakang pentas pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat hanya meletakkan gambar Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz serta tiga pemimpin Dewan Ulama iaitu ketuanya Datuk Harun Taib; timbalannya Datuk Ahmad Yakub dan naib ketua Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Sebelum ini, muncul desas desus yang menyatakan Nasharuddin ditolak di negeri ini setelah dibidas oleh Nik Abdul Aziz kerana cuba untuk menjalinkan hubungan dengan UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan. Sejak itu pengaruhnya di negeri ini dikatakan semakin menurun. -BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain