suria

Pelatih PLKN Wan Zhafirah Pernah Diberi Rawatan Ruam

KUALA LUMPUR: Wan Zharifah Wan Othman yang didakwa hilang ingatan selepas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kuala Krai, Kelantan pada Mei lepas, pernah diberi rawatan kerana mengalami ruam pada badannya selepas tiga hari menyertai program itu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata Wan Zharifah, 18, diberi rawatan oleh pembantu perubatan di Pusat Medik di kem Batu Jong, Kuala Krai.

"Pelatih itu, yang menyertai kem pada 27 Mac lepas, mengadu mengalami ruam dan sebulan setengah kemudian remaja itu mengadu sakit kepala sebelum memohon cuti untuk dihantar ibu bapanya berubat di kampungnya di Kuala Chendering, Terengganu.

"Komandan yang bertugas memberikan cuti selama tiga hari dan pada 18 Mei, ibu bapanya datang untuk membawa pelatih pulang ke kampung," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan PLKN kumpulan dua siri tujuh 2010 di Kem PLKN Temasya Rimba Templer, hari ini.

Abdul Hadi mengulas laporan akhbar tabloid hari ini bahawa Wan Zharifah, yang sebelum ini seorang yang ceria, tiba-tiba hilang ingatan dan berkelakuan aneh selepas mengikuti latihan selama lima minggu di kem PLKN itu.

Ibu bapa Wan Zharifah mendakwa pihak PLKN, yang sebelum ini berjanji untuk bertanggungjawab atas kejadian itu, langsung tidak bertanya khabar akan kesihatannya.

Abdul Hadi berkata selepas tamat tempoh cuti yang diberikan, Wan Zharifah tidak kembali ke kem dan beliau juga meminta komandan kem PLKN itu untuk melihat keadaan pelatih itu tetapi masih belum menerima sebarang laporan.

Menurutnya PLKN juga pernah meminta pelatih itu dirawat di hospital tetapi ibu bapanya tetap mahu berubat cara kampung.

Katanya Wan Zharifah mungkin mengalami tekanan perasaan dan kemungkinan lain sepanjang menjalani latihan tersebut.

"Mungkin ada tekanan perasaan dan sebagainya, setiap orang mempunyai kemampuan yang berbeza tetapi jika ikut kepada komandan mereka tidak nampak apa-apa masalah...dari segi saringan perubatan juga tidak nampak masalah kesihatan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata JLKN giat melaksanakan Komuniti Bestari di setiap siri PLKN dalam usaha mendapat kerjasama sepenuhnya daripada masyarakat bagi melaksanakan aktiviti khidmat komuniti seperti gotong-royong.

Komuniti Bestari merupakan modul dalam program PLKN yang telah diadakan di 77 buah kem di seluruh negara.

Jabatan Penerangan turut bekerjasama dengan PLKN dengan mengadakan ceramah 1Malaysia yang dikenali sebagai program 'Bersama 1Malaysia' diadakan secara serentak di seluruh kem pada hari yang sama.

Ia penting bagi memastikan pelatih khidmat negara memahami dan menghayati makna sebenar 1Malaysia, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain