suria

Pasangan Kembar Terbunuh Dalam Kemalangan Di Kangar

KANGAR: Sepasang saudara kembar terbunuh dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah motosikal dan kereta, di persimpangan kilometer 2.7 Jalan Raja Syed Alwi, di sini semalam.

Aishah Kamis dan kakak kembarnya, Fatimah, masing-masing berumur 22 tahun, terbunuh apabila motosikal yang mereka naiki dirempuh oleh sebuah kereta dalam kejadian pukul 6.30 petang.

Pegawai Turus Trafik Perlis Asisten Supritendan (ASP) Rosli Yahaya berkata Aishah yang menunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala, Fatimah yang membonceng dan sedang mengandung dua bulan, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pukul 9.45 malam semalam.

Katanya pasangan kembar itu dalam perjalanan dari Kangar untuk pulang ke rumah di Kampung Tok Kaya dekat sini apabila tiba-tiba sebuah kereta yang hilang kawalan gagal berhenti di persimpangan lalu melanggar mereka, mengakibatkan kedua-duanya tercampak dari motosikal.

Kereta itu yang dipandu seorang warga tua berusia 67 tahun turut tercampak ke dalam sawah berhampiran namun pemandu kereta dan isterinya hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di HTF.

Katanya pasangan kembar itu sedang dalam perjalanan untuk pulang ke rumah setelah selesai membeli barangan untuk dijadikan hantaran perkahwinan ibu saudara mereka.

Sementara itu, ibu mangsa, Nirat Shafie, 69, berkata Aishah yang bekerja sebagai pembantu tadbir di HTF dan Fatimah bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia di sini merupakan anak keenam dan ketujuh daripada tujuh beradik. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain