suria

Murida Tahun Dua Mati Lemas Mandi Pantai

KUALA TERENGGANU: Kegembiraan seorang murid tahun dua mandi laut bersama sepupunya semasa musim cuti sekolah berakhir dengan tragedi apabila lemas dihanyut arus deras di Kuala Sungai Pantai Tanjung Gelam, Mengabang Telipot dekat sini petang ini.

Mayat mangsa, Mohd Ashraf Azman, 8 ditemui orang awam dan anggota bomba terapung kira-kira pukul 6.50 petang iaitu lebih empat jam selepas mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Khairul Anuar Ahmad berkata, mayat ditemui kira-kira 700 meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk dibedah siasat," katanya.

Sementara itu, menurut bapa mangsa Azmi Ali, 36 dari Kampung Pak Tuyu dekat sini berkata, beliau tidak menyangka rancangannya untuk membawa keluarganya berjalan-jalan ke pantai itu sempena musim cuti sekolah akan berakhir dengan kesedihan.

"Saya dah pesan supaya jangan mandi pantai kerana arus deras, tapi dia kata nak mandi tepi pantai sahaja bersama sepupunya berusia 14 tahun. Saya tak sedar bila masa dia hanyut ke tengah.

"Tiba-tiba sahaja anak saudara datang bagi tahu anak saya dah berada di tengah laut," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebaik mendengar berita tersebut, Azmi berkata beliau terus berlari ke arah laut dan sempat memegang tengkuk anaknya, namun terlepas dan hanya mampu mendengar jeritan anaknya meminta tolong sebelum hilang dari pandangan berikutan beliau sendiri tidak pandai berenang.

Katanya, anak kedua daripada empat beradik itu sebelum ini turut menunjukkan tanda-tanda pelik apabila lebih rajin membantu ibunya berbanding waktu lain.

Sementara itu, sepupu mangsa Mohd Kamal Alias, tingkatan dua Sekolah Menengah Kompleks Mengabang Telipot berkata, ketika kejadian kira-kira 2.30 petang itu, beliau dan mangsa mandi di muka kuala pantai itu sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

"Saya sendiri hanyut tetapi sempat berenang ke tepi dan minta tolong dekat pemancing yang ada berhampiran sebelum memberitahu pakcik saya yang berada tidak jauh dari tempat kejadian," katanya yang kelihatan masih trauma dengan kejadian itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain