suria

Golongan Ulama Dan Profesional Dalam PAS Tetap Padu

MACHANG: Pakatan golongan profesional dengan ulama dalam PAS merupakan kunci kekuatan parti itu dan saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

Oleh itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Harun Taib berkata tidak timbul wujudnya pertelagahan pendapat antara kedua-dua golongan tersebut yang digembar-gemburkan sebelum ini.

“Adanya hubungan jalin yang rapat antara kedua-dua golongan itu merupakan rahsia kekuatan PAS sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasarnya sempena Muktamar Tahun Dewan Ulama PAS Pusat di Marakaz Dewan Ulama (MADU) PAS Kelantan, di sini hari ini.

Menurutnya, jika adapun suara-suara sumbang dalam parti berhubung isu percanggahan pendapat antara dua golongan itu ibarat membetulkan kedudukan hiasan reka bentuk dalaman rumah tangga.

Beliau berkata pihaknya akan mentarbiyahkan mana-mana anggota parti dalam pakatan pembangkang, khasnya DAP yang masih tidak memahami hala tuju parti berhubung isu agama.

"Bagaimanapun, alhamdulillah, setakat ini mereka (pemimpin parti pakatan itu) semakin boleh menerima apabila PAS mempertahankan prinsipnya iaitu Islam untuk semua," katanya.

Dalam ucapan dasarnya, Harun berkata, peranan ulama dalam PAS dapat diperkasakan lagi apabila perlembagaan parti dipinda membolehkan perti mewujudkan sayap ulama di peringkat kawasan (bahagian).

Ini juga, katanya sekali gus memberi kesan bilangan perwakilan yang menyertai muktamar itu bertambah pada kali ini berbanding sebelumnya. Ini juga apat melahirkan golongan ulama pelapis yang bakal mengambil alih peranannya untuk panjang masa panjang parti," katanya.

Beliau juga mengakui peranan ulama semakin berat di zaman kebangkitan Pas sejak kebelakangan ini apabila parti itu mula diterima oleh anggota parti pakatan pembangkang.

Menurutnya, tugas ini harus dipikul oleh semua pimpinan ulama, termasuk golongan pelapis yang bakal lahir di peringkat akar umbi itu. Sebab itu PAS menubuhkan Dewan Ulama pusat bagi mempekasakan peranan ulama di samping mewujudkan golongan pelapis.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujud pergeseran dalam parti berkaitan isu golongan ulama dengan bukan ulama, tetapi ia tidak menjejaskan parti.

"Pergeseran itu ibarat orang terseliuh dan boleh diperbetulkan," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain