suria

FAKTA RMK-10 (BAH 2)

* Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri, liputan jalur lebar ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar dan prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan bagi penduduk di luar bandar.

* Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu akan disiapkan dalam tempoh RMK10 kos RM3.7 bilion dan akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf.

* Projek membina landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Baharu, dengan kos anggaran RM8 bilion akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang Besar di utara ke Johor Baharu di selatan.

* Loji rawatan kumbahan yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, akan diperluaskan ke seluruh negara.

* Bekalan tenaga akan terus diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat.

* Beberapa bandar raya akan dijadikan destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan berpengetahuan.

* Kerajaan akan tambah RM3 bilion lagi menjadikan jumlah Skim Jaminan Modal Kerja kepada RM10 bilion bagi enterpris kecil dan sederhana (SME) mendapat akses kemudahan pembiayaan.

* Kerajaan sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan SME dan Agro Bank.

* Sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro kekal.

* LIMA INISIATIF STRATEGIK PERKASA AGENDA PEMBANGUNAN BUMIPUTERA:

Pertama: Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian.

Kedua: Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera.

Ketiga: Menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera.

Keempat: Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas.

Kelima: Menubuhkan satu majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

* Fokus kepada meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah di mana Bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini.

* Subsidi dirasionalkan secara berperingkat, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan.

* Pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia.

* Peruntukan RM109 juta untuk sambungan bekalan air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1,000 ekar (400 hektar) atau kurang dan terletak tidak melebihi lima kilometer dari paip utama.

* Kemudahan pinjaman AIM dan TEKUN akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar dan akan dipakej bersama dengan latihan keusahawanan.

* Dana RM100 juta untuk pinjaman mudah bagi 280,000 isirumah kampung baru Cina membayar premium tanah bagi perlanjutan tempoh pajakan melalui Bank Simpanan Nasional.

* Peruntukan kewangan kepada universiti bergantung kepada pencapaian KPI dan universiti diberi autonomi secara berperingkat bagi mengukuhkan peranan dan prestasi universiti.

* Kualiti staf akademik berkelulusan PhD sebanyak 75 peratus bagi universiti penyelidikan atau research university, dan 60 peratus bagi universiti awam lain.

* MyBrain15, iaitu program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran, akan digiatkan bagi meningkatkan jumlah pemegang PhD kepada 18,000 pada tahun 2015.

* Pakej penggajian akan dikaji semula untuk menarik minat pensyarah asing dan staf akademik yang telah bersara.

* Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diiktiraf sebagai universiti penyelidikan selepas Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain