suria

Tertuduh Bersumpah Demi Allah Tidak Mengapa-apakan Syafiah Humaira

SHAH ALAM: Tertuduh, Mohd Fazli Azri Jamil bersumpah dengan menggunakan nama Allah bahawa dia tidak melakukan apa-apa terhadap Syafiah Humaira Sahari, kata tukang kimpal, Mohd Isa Hashim yang menemankan tertuduh ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-10, dia berkata, tertuduh menghubunginya dan memberitahu mahu menghantar kanak-kanak itu yang dikatakan terjatuh daripada motosikal.

Semasa itu, Mohd Isa menambah, tertuduh kelihatan seperti mahu cepat.

“Saya tanya kalau naik motosikal macam mana jadi macam ini dan tertuduh kata dia bergurau dengan kawan. Dia (tertuduh) bergurau, jatuh dan terlentang.

“Saya tanya kalau jatuh kenapa ada lebam pada pipi (budak itu). Kalau setakat terlentang mesti bengkak di belakang kepala. Saya cakap jangan bohong. Tertuduh kata ‘sumpah abang. Demi Allah,” katanya.

Mohd Isa menambah, tertuduh kemudiannya memberitahu bahawa Syafiah Humaira, 3 tahun 4 bulan telah meninggal dunia.

Saksi turut mengajak tertuduh untuk pulang ke rumah bagi membuat persiapan pengebumian.

“Sampai di rumah, saya dapati bapa tertuduh (Jamil Madin) sedang tidur. Saya kejutkan dan cakap ‘Kau tak tahu ke cucu engkau dah meninggal kat hospital’. Dia tak cakap apa-apa.

“Saya juga cakap ‘kau bawak anak kau ni uruskan budak itu (Syafiah Humaira). Saya guna perkataan kau sebab saya dah marah,” kata saksi semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

Mohd Fazli Azri, 28, seorang pemandu teksi didakwa membunuh Syafiah Humaira pada jam 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Bantang Kali, dekat sini. Jika disabitkan bersalah, tertuduh yang diwakili peguam Gurbachan Singh boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok.

Artikel Lain