suria

SPRM Tahan Pemilik Gudang Dan Pembantu Penguatkuasa JPJ

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik gudang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana cuba memberi suapan RM20,000 kepada seorang pengawai penguatkuasa supaya kenderaan dan bahan petrol dan diesel di premisnya tidak disita. Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di gudangnya di kawasan perindustrian Padang Besar, Perlis, pada pukul 7.15 malam.

Menurut kenyataan SPRM hari ini, suspek dilepaskan dengan jaminan deposit RM5,000 dengan seorang penjamin sehingga 8 Julai ini. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau yang mana lebih tinggi. Dalam kes berasingan, SPRM menahan seorang Pembantu Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kuantan, Pahang, pada 2.25 petang semalam kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM150 daripada seorang tukang gunting rambut. "Suspek dipercayai menerima suapan itu dari tukang gunting itu bagi menyelesaikan bayaran samannya atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu," kata SPRM.

Menurutnya suspek, yang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, telah dilepaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, SPRM Negeri Sembilan menahan dua orang warga asing dan seorang rakyat tempatan kerana memberi rasuah kepada seorang pegawai polis supaya tidak menahan mereka dalam operasi berasingan.

Dalam operasi pertama, seorang lelaki pendatang tanpa izin warga Bangladesh berusia 50 tahun dan seorang pemandu van warga tempatan berusia 44 tahun ditangkap kerana memberi suapan RM300 kepada seorang pegawai polis.

SPRM berkata, kedua-dua suspek itu ditahan kerana memberi suapan agar pegawai itu tidak mengambil tindakan terhadap enam lelaki warga Bangladesh yang berada dalam van tersebut.

Mereka ditahan pada pukul 9.50 malam, Isnin lalu, di Jalan Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kesemua warga asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Dalam operasi kedua, seorang lelaki warga Pakistan berusia 37 tahun ditahan pada pukul 10.40 pagi semalam dalam satu sekatan jalan di negeri itu kerana memberi suapan RM50 kepada seorang pegawai penguatkuasa JPJ.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu. - BERNAMA

Artikel Lain