suria

Sindiket Judi Bola Raih RM1 Bilion

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya empat sindiket perjudian bola sepak secara online tanpa lesen di negara ini dikenal pasti telah bergiat aktif sejak beberapa tahun lepas melibatkan wang pertaruhan lebih daripada RM1 bilion, kata polis hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, polis telah menubuhkan satu pasukan pada April lepas bagi memantau sindiket-sindiket terbabit yang dipercayai didalangi beberapa individu termasuk yang bergelar Datuk dan mengandungi pakar teknologi maklumat.

"Kita sedang menyiasat sama ada sindiket-sindiket ini mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa atau tidak," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd Bakri berkata, unit pemantau itu akan bekerjasama dengan Interpol bagi mengesan kegiatan itu di peringkat antarabangsa.

Bagi membanteras perjudian semasa Piala Dunia yang bermula di Afrika Selatan pada Jumaat ini, unit pemantuan itu telah melancarkan operasi dikenali sebagai Ops Soga (soccer games) di semua negeri sejak sebulan lepas.

Katanya, sindiket ini dipercayai turut mengambil pelajar-pelajar lepasan jurusan IT dengan memberi bayaran lumayan bagi menjalankan aktiviti itu.

Mohd Bakri berkata, sindiket itu turut menggunakan kafe siber sebagai tempat pertaruhan.

Katanya, sindiket itu juga dipercayai bersekongkol dengan Ah Long bagi memberi pinjaman kepada mereka yang ingin berjudi. "Amaran saya kepada sindiket-sindiket ini, polis akan terus mengesan kegiatan haram mereka habis-habisan," kata Mohd Bakri. - BERNAMA

Artikel Lain