suria

Rancangan Kontingensi Kebangsaan Tangani Tumpahan Minyak

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menghadapi tumpahan minyak berskala besar melalui Rancangan Kontingensi Kebangsaan Kawalan Tumpahan Minyak, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Unggah Embas berkata, pelan tindakan itu dilaksanakan secara berperingkat bermula dari peringkat tempatan, negeri serta wilayah sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Sebagai persediaan, kerajaan telah menempatkan stok simpanan peralatan melawan tumpahan minyak di lokasi strategik di seluruh negara dan mendapatkan sumber peralatan serta kepakaran tambahan daripada syarikat minyak seperti Petronas, Shell, ExxonMobil serta kontraktor Oil Spill Response persendirian," katanya menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) berhubung kesediaan dan keupayaan negara menghadapi tumpahan minyak berskala besar seperti yang berlaku di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Douglas berkata semua tindakan di bawah pelan tersebut dilaksanakan dalam mekanisme Jawatankuasa Kebangsaan Kawalan Tumpahan Minyak yang dipengerusikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dianggotai 17 agensi kerajaan serta industri berkaitan termasuk Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia, polis dan tentera.

Menjawab soalan lain Abdul Rahman mengenai kemungkinan mewujudkan sebuah agensi yang lebih berkemampuan dan mempunyai sumber yang mencukupi berbanding JAS dalam mengatasi masalah tumpahan minyak dengan lebih pantas, beliau berkata perkara itu boleh dipertimbangkan.

"JAS memang tak cukup pegawai, alat dan aset yang lengkap. Sebab itu kita tubuh jawatankuasa yang dapat bersatu padu tangani masalah ini. Baru-baru ini di Pengerang yang libatkan 2,500 tan minyak tumpah, kita berjaya bersihkan dalam masa singkat, tujuh hari sahaja.

"Tapi kalau ada agensi macam dicadangkan mungkin tindakan lebih cepat dan berkesan dan tentukan kapal tak buang minyak pun mungkin boleh dijalankan mungkin oleh APMM," katanya.

Douglas juga berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemampuan teknologi dari masa ke semasa serta mengkaji apa jua teknologi yang dilihat berkesan untuk menangani masalah tumpahan minyak yang boleh berlaku bila-bila masa. -BERNAMA

Artikel Lain