suria

Penyambut Tetamu Kelab Malam Mengaku Tidak Bersalah Dera Bayi

KUALA LUMPUR: Seorang penyambut tetamu kelab malam hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki tunggalnya yang berumur tiga bulan pada Mac lepas.

Noriza Mhd Nor,32, didakwa menyebabkan bayinya Mohd Hazman Haziq mengalami kecederaan fizikal di rumahnya di No 315, Jalan Sultan Sulaiman, Dang Wangi antara 23 Mac hingga 27 Mac lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, jika sabit kesalahan.

Bayi lelaki itu yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 Mei oleh pengasuhnya kerana mengalami masalah untuk bernafas, meninggal dunia pada keesokkannya.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menetapkan 7 Julai untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan tertuduh melantik peguam, dan mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Noriza dihantar ke Penjara Kajang sementara menanti jaminannya dijelaskan. -BERNAMA

Artikel Lain