suria

Penguasaha Stesen Minyak Haram Ditahan

PADANG BESAR: Seorang pengusaha stesen minyak haram di sini ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas cuba menyogok penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang memeriksa premisnya semalam.

Pengarah KPDNKK negeri Mohd A. Aruwan Ab. Aziz berkata lelaki berusia lingkungan 20an itu cuba menyuap pegawai penguatkuasa agar tidak memeriksa premisnya yang didapati beroperasi tanpa lesen.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.10 petang itu, penguatkuasa merampas 27,300 liter diesel bersubsidi bernilai RM46,410 dipercayai untuk dijual kepada rakyat asing, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu pihaknya juga menemui tiga tangki besar yang setiap satu boleh memuatkan 19,000 liter minyak, tiga buah pam dan sebuah lori tangki.

Pihaknya juga percaya premis itu yang pernah diserbu pada Januari lepas digunakan sebagai transit untuk penyeludupan minyak ke negara jiran, kata Mohd A. Aruwan. Mengulas mengenai gula di Perlis, beliau berkata bekalan bahan itu di negeri tesrebut adalah mencukupi dan masih terdapat stok sebanyak 110 tan metrik berbanding keperluan harian 50 tan metrik.

Bagaimanapun berikutan laporan kekurangan bekalan gula di beberapa negeri, pihaknya melakukan pemeriksaan sebanyak dua kali sehari membabitkan 161 premis.

Namun sehingga kini kami tidak menerima laporan dan aduan daripada semua pihak berkenaan kekurangan bahan itu di sini, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain