suria

Kerajaan Tidak Akan Tunduk Desakan Peruncit, Teruskan Langkah Lesen Barang Kawalan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan langkah untuk melesenkan barangan kawalan dan tidak akan tunduk dengan desakan peruncit yang tidak bersetuju ia dikuatkuasakan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Beliau berkata, isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan kerana peraturan baru itu langsung tidak membebankan peruncit selain telah dipersejui oleh persatuan peruncit.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Jualan Langsung 2010 di Dewan Rakyat berkata, peraturan itu juga tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada peruncit kerana tiada caj lesen dikenakan oleh kerajaan.

"Apa masalahnya, peruncit tidak perlu ke pejabat untuk mendapatkan lesen. Pegawai kita yang akan ke premis mereka untuk proses mendapatkan lesen. Tiada caj dikenakan.

"Kalau buta huruf sekalipun pegawai kita akan membantu isikan borang, apa susah? Saya tidak nampak ada masalah di sini," katanya membidas dakwaan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) bahawa peraturan itu hanya menyusahkan peruncit.

Nga ketika membahaskan rang undang-undang itu menyifatkan peraturan baru itu hanya akan menyusahkan peruncit kerana mereka juga dikehendaki mengambil pelbagai jenis lesen barangan sebelum ia dibenarkan dijual kepada orang ramai.

Ismail Sabri berkata, langkah pelesenan itu bertujuan memudahkan kementerian untuk memantau pergerakan barangan kawalan di peringkat peruncit.

"Kita telah membuat pemantauan di peringkat sempadan negara. kemudian di kilang, kemudian pemborong. Malah pemborong dikehendaki mengisi buku log. Bagaimana pula kita hendak kawal di peringkat peruncit?

"Kita tidak paksa untuk mereka ambil lesen tetapi jika mereka hendak jual barangan kawalan mereka wajib ambil lesen. Itu sahaja," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa keputusan itu dibuat demi untuk menjaga kepentingan pengguna dan rakyat di negara ini.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan tanpa pindaan.

Terdahulu pada sesi perbahasan mengenai rang undang-undang itu kenyataan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) menarik perhatian anggota dewan apabila beliau menyifatkan peruncit yang merancang menghentikan penjualan barangan kawalan seperti gula, minyak dan tepung gandum mulai Selasa depan sebagai "pengkhianat" negara.

"Saya amat hairan dengan sikap peruncit ini kerana peraturan ini langsung tidak membebankan mereka. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan datang ke premis mereka untuk proses melesenkan barangan kawalan.

"Apa susahnya. Bukannya mereka perlu ke pejabat KPDNKK. Lesen ini juga tidak perlu dibayar. Langkah kerajaan ini bertujuan untuk melindungi hak pengguna selain mengelak berlakunya perbuatan menyorok barang. Bukankah apa yang mereka lakukan ini satu perbuatan khianat?" katanya yang nyata kesal dengan tindakan tersebut.

Pandangan beliau turut dikongsi Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) yang bersetuju kerajaan meneruskan langkah berkenaan demi kepentingan pengguna selain mengelakkan rakyat terus menjadi mangsa setiap kali berlakunya krisis gula di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain