suria

Bekas Pensyarah Ditahan Kerana Jadikan Rumah Pusat Proses Ubat Batuk

KAJANG: Seorang bekas pensyarah sebuah kolej swasta ditahan polis awal hari ini selepas rumahnya di Bandar Baru Bangi didapati dijadikan makmal memproses ubat batuk. Ketua Polis Daerah Kajang ACP, Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, dalam operasi pada pukul 12.30 pagi itu, polis menemui sebanyak 6,860 biji pil pseudoephiderine, 9,906gm kodein, 11,000 ml cecair promethazine dan beberapa peralatan untuk memproses ubat batuk yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM5,000 di rumah itu yang turut didiami anak dan isterinya.

Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai membeli ubat batuk dari sebuah farmasi di sekitar Kajang dan mencampurkannya dengan pil pseudoephiderine, dan menjual semula dengan harga kira-kira RM20 bagi setiap plastik kecil, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek yang merupakan bekas pensyarah subjek kimpalan logam, mendapati dia positif ganja dan kokain.

Suspek yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak dua bulan lepas itu ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain