suria

Semakin Ramai Kanak-Kanak Maut Di Kawasan Kediaman - Miros

KUALA LUMPUR: Kawasan kediaman kini bukan lagi kawasan selamat bagi kanak-kanak jika dilihat daripada jumlah kematian dan kecederaan yang mereka alami akibat kemalangan jalan raya di kawasan itu, kata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) hari ini.

Statistik institut itu menunjukkan bahawa pada 2008, 75 kanak-kanak berusia bawah 15 tahun telah terbunuh dan 192 mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya di kawasan kediaman.

Dalam kenyataan hari ini, MIROS berkata kemalangan yang berlaku di kawasan kediaman mengakibatkan jumlah kematian kedua tertinggi di negara ini. "Jumlah kematian, kecederaan serius dan kemalangan yang berlaku di kawasan kediaman semakin membimbangkan, terutama jika diambil kira bahawa sebelum ini, kawasan itu dianggap selamat dan bebas daripada kesibukan lalu lintas," kata Ketua Pengarah MIROS Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Beliau berkata perkara menyedihkan ini menunjukkan kemungkinan bahawa kesedaran orang ramai tentang keselamatan jalan semakin berkurangan kerana terlalu menganggap bahawa kawasan kediaman merupakan kawasan yang selamat bagi penggunan kenderaan bermotor.

MIROS juga mendedahkan bahawa pada 2008, kemalangan jalan raya yang berlaku berhampiran sekolah telah meragut nyawa 22 kanak-kanak dan menyebabkan 78 yang lain cedera parah.

Sebanyak 15 kanak-kanak pula kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya di kawasan pusat beli-belah, kata institut itu.

Prof Farhan berkata jumlah kemalangan jalan raya paling tinggi yang melibatkan kanak-kanak berusia antara satu tahun dan 15 tahun berlaku antara pukul 5 petang dan 7 malam.

Pada 2008, 1,633 kemalangan dilaporkan berlaku dalam tempoh itu, kata beliau.

Beliau berkata ini kerana dalam tempoh itulah banyak kanak-kanak bermain di luar rumah, terlibat dalam pelbagai kegaitan di kawasan kediaman atau pulang dari sekolah.

Prof Farhan berkata anggapan silap kononnya kawasan kediaman merupakan kawasan yang selamat turut terserlah dalam jumlah kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kenderaan bawah umur dan yang tidak mempunyai lesen.

Daripada 493 kanak-kanak berusia bawah 15 tahun yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 2008, 172 daripada mereka, sama ada menunggang motosikal, atau memandu kenderaan bermotor. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain