suria

Pelajar Vokasional Disasar Meningkat 20 Peratus 2015 - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mensasarkan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan Vokasional-Teknikal atau voctech meningkat 20 peratus menjelang 2015, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata pada masa ini penyertaan adalah pada sekitar 10 peratus, dan usaha untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang itu telah dirancang.

Ini termasuk pembinaan tiga Sekolah Menengah Vokasional (SMV) yang baru dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan cadangan menambah bilangan Sekolah Menengah Vokasional dalam RMK-10, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pembinaan sekolah-sekolah itu dijangka dapat memberikan peluang sekurang-kurangnya kepada 4,000 pelajar yang berminat mengikuti program itu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab empat soalan secara serentak yang diajukan oleh Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru), Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) dan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).

Soalan itu meminta Kementerian Pelajaran menyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk menarik lebih ramai pelajar mengikuti pelajaran aliran vokasional supaya setanding dengan Eropah yang mampu menarik 50 peratus pelajarnya mengikuti aliran itu.

Muhyiddin berkata kementerian juga akan menstruktur semula Sekolah Menengah Teknik (SMT) kepada Sekolah Menengah Vokasional dalam tiga fasa dengan memberi fokus kepada program vokasional dan kemahiran.

Selain itu, Kuarters Institusi Pendidikan (KIP), juga akan digunakan sebagai sayap vokasional untuk kegunaan pendidikan vokasional di sekolah menengah harian yang berhampiran.

"Sebagai langkah permulaan, dua KIP telah dikenalpasti untuk dijadikan Vocational Wings pada 2012. Kita juga akan menambah dua Sekolah Menengah Pendidikan Vokasional untuk golongan murid kelainan upaya (OKU) pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran.

"Pada masa ini terdapat dua sekolah untuk golongan ini di Indahpura, Johor dan Shah Alam, Selangor. Di samping itu, terdapat tiga sekolah menengah harian yang menawarkan mata pelajaran vokasional kepada murid OKU," katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan menambah baik mata pelajaran vokasional di sekolah menengah harian supaya setaraf dengan sekolah menengah vokasional sedia ada bagi membolehkan sekolah itu turut diiktiraf oleh industri dan badan profesional.

Muhyiddin berkata bagi meningkatkan kompetensi guru vokasional dan kemahiran sedia ada, seramai 4,764 guru akan dilatih dan ditauliah kemahiran sekurang-kurangnya mencapai kemahiran minima iaitu pada tahap tiga Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mulai tahun depan.

Beliau berkata sebagai langkah untuk memastikan murid mendapat pendidikan vokasional dan kemahiran berkualiti, kementerian bercadang mengambil guru vokasional dan kemahiran yang baru di kalangan mereka yang mempunyai kemahiran yang diiktiraf mengikut bidang yang diperlukan daripada pasaran terbuka.

"Justeru, proses pengambilan guru vokasional dan kemahiran baru akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mencecah seramai 10,000 orang pada 2015," katanya.

Selain itu, beliau berkata bagi pemegang SKM di tahap empat atau setara dengannya serta tenaga mahir yang berpengalaman luas dengan minimum lima tahun akan diberi pertimbangan untuk dipilih bagi mengajar program kemahiran di sekolah.

"Calon yang terpilih akan dilatih oleh kementerian sebelum ditauliah dan disahkan sebagai guru kerajaan," katanya.

"Kementerian yakin dengan usaha yang dilaksanakan ini, murid-murid lepasan Pendidikan Voctech akan memiliki kebolehpasaran, kemahiran pekerjaan, kemahiran keusahawanan dan jati diri yang tinggi.

"Ini juga akan dapat membuktikan bahawa semua murid mempunyai peluang dan masa depan yang cerah mengikut kemampuan dan kecenderungan masing-masing dalam sistem pendidikan negara," katanya.

Menjawab soalan Noraini sama ada peluang yang ditawarkan itu akan turut dinikmati masyarakat luar bandar, Muhyiddin berkata penawaran sesuatu kursus vokasional dan kemahiran bergantung kepada ekonomi setempat.

"Contohnya di luar bandar itu di persekitarannya adalah pertanian, jadi kita akan wujudkan kursus mengenai pertanian," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga bercadang supaya lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diambil memasuki ke Sekolah Menengah Vokasional berbanding sebelum ini yang membolehkan lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sahaja memasuki sekolah vokasional. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain