suria

Najib Sokong NGO Teruskan Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tetap akan menyokong program dan usaha badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Saya fikir amat baik sekiranya NGO-NGO ini, kalau mereka bersetuju untuk terus membuat program seperti menghantar bantuan kemanusiaan dengan menggunakan bot-bot atau kapal-kapal tertentu atau dengan apa cara sekali pun.

"Ini adalah supaya masalah dan kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza akan sentiasa dalam perhatian masyarakat dunia," katanya kepada pemberita selepas meraikan enam lagi sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dibebaskan oleh tentera Israel Sabtu lepas pada jamuan makan tengah hari di kediamannya di Langgak Duta di sini hari ini.

Keenam-enam mereka terdiri daripada Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, ketiga-tiganya daripada Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, serta Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin, kedua-duanya daripada TV3.

Mereka yang menaiki kapal MV Rachel Corrie yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza, ditahan selepas tentera Israel mengiringi kapal itu ke Pelabuhan Ashdod tiga hari lepas dan dibebaskan pada Sabtu di Jambatan Raja Hussein di sempadan Israel-Jordan. Mereka pulang ke tanah air malam tadi.

Najib berkata misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin telah membuka mata masyarakat dunia tentang kekejaman rejim Zionis di Israel yang bertindak menghalang pasukan misi bantuan itu di perairan antarabangsa.

"Kita dapat lihat sekarang ini, betapa perubahan dari segi pendapat dunia, yang sudah pun memihak kepada rakyat Palestin dan rata-rata kerajaan Israel dikutuk oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Penasihat Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Datuk Mukhriz Mahathir, Menteri Luar Datuk Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Sementara itu, Mukhriz berkata PGPO kini dalam usaha untuk mendapatkan semula kapal-kapal yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu, termasuk kapal MV Rachel Corrie yang mungkin boleh digunakan semula untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan pada masa depan.

"Kalau boleh kita hendak kapal-kapal kita balik, Changer 1 dan 2 dan juga Rachel Corrie sebab itu telah dibayar. Sekarang ini, usahanya ialah untuk kerajaan Turki dan Jordan membantu membebaskan kapal-kapal kita," katanya.

Mengenai rancangan terbaru PGPO, Mukhriz berkata pertubuhan itu akan cuba membantu rancangan bekas anggota parlimen Britain George Galore yang mempunyai hubungan rapat dengan Gaza untuk menghantar 60 kapal misi bantuan kemanusiaan ke sana.

Beliau turut mengalu-alukan sokongan kerajaan Malaysia yang disifatkan sebagai rangsangan kepada sukarelawan negara untuk meneruskan rancangan penghantaran misi bantuan ke Gaza itu.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain